WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AMM Ke-58: Beberapa Lagi Menteri Luar ASEAN Tiba Di Malaysia

07/07/2025 09:43 PM

SEPANG, 7 Julai (Bernama) -- Beberapa lagi pemimpin negara anggota ASEAN tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.

Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 7.30 malam manakala Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane pada 8.08 malam.

Terdahulu, Setiausaha Luar Filipina Ma Theresa P. Lazaro tiba pada 5.10 petang.

Di Terminal 1 KLIA, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son dan isteri Vu Thi Bich Ngoc tiba pada 5.35 petang, disusuli Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dan isteri  Kokan Sangiampongsa pada 8 malam.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.

Mesyuarat bermula 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan