KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara BRICS, terutamanya dengan potensi besar kecerdasan buatan (AI) yang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan inklusif.
“Dengan ekonomi digital ASEAN dijangka mencapai US$2 trilion (US$1=RM4.231) menjelang 2030, ini adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh kita sia-siakan,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi hantaran di laman X beliau hari ini.
Tengku Zafrul berkata mesyuarat sampingan dengan Negara Rakan BRICS dan pemimpin perniagaan, membuka ruang untuk syarikat Malaysia meneroka pasaran dan peluang pelaburan dalam sektor berorientasikan masa depan.
Beliau berkata MITI akan terus memudah cara dan menyokong syarikat tempatan untuk terus berani meneroka pasaran baharu.
“Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh sistem perdagangan yang berasaskan peraturan dan inklusif.
“Bersama-sama, kita bina masa depan ekonomi global yang lebih adil dan progresif,” katanya.
Tengku Zafrul merupakan antara anggota delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio De Janerio, Brazil.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial