WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Tekankan Kesaksamaan Dalam Kesihatan Global Dan Iklim Di Sidang Kemuncak BRICS

07/07/2025 11:23 PM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 7 Julai (Bernama) -- Malaysia berpandangan bahawa akses kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang kukuh serta peraturan terhadap rantaian bekalan perubatan global merupakan tunjang kepada kestabilan negara dan keselamatan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa apabila kerajaan terpaksa mengalihkan sumber terhad daripada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan bekalan air bersih bagi membayar hutang lapuk, maka sistem kewangan yang sepatutnya menyokong pembangunan akhirnya menjadi penghalang kepada kemajuan.

"Marilah kita mulakan dengan satu hakikat yang sukar. Di terlalu banyak tempat di dunia, jangka hayat seseorang masih ditentukan bukan oleh faktor biologi, tetapi oleh tahap pendapatan."

"Hakikat bahawa peluang seorang kanak-kanak untuk hidup melepasi usia lima tahun masih banyak bergantung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita merupakan satu kegagalan kolektif kita semua," katanya ketika menyampaikan intervensi pada sesi "Environment, COP30 and Global Health (Persekitaran, COP30 dan Kesihatan Global) sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di sini hari ini.

Malaysia, katanya, menyambut baik pelancaran Rakan Strategik BRICS bagi Menangani Penyakit Berasaskan Faktor Sosial.

"Ia mencerminkan kefahaman yang jelas bahawa penyakit tidak dapat ditangani secara bermakna tanpa mengatasi punca-punca asasnya," kata Anwar.

Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong kerjasama yang lebih erat antara BRICS dan ASEAN bagi memperkukuh sistem pemantauan kesihatan, mempercepat pemindahan pengetahuan serta membina daya tahan rentas sempadan.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia komited terhadap peralihan karbon rendah yang kredibel dan adil.

Menurut Anwar, Malaysia telah berikrar untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Sasaran ini, jelas beliau, disandarkan kepada dasar perundangan dan telah diintegrasikan dalam dasar awam negara.

Pendekatan Malaysia didasari oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, yang disokong melalui pelaksnaan mekanisme harga karbon serta pembaharuan kawal selia dalam sektor utama.

Anwar berkata Malaysia juga sedang menilai peranan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dalam proses penyahkarbon industri, dengan rangka dasar berkaitan sedang dibangunkan.

Namun, katanya peralihan memerlukan lebih daripada dasar semata-mata kerana ia turut menuntut modal, katanya sambil menambah bahawa pada masa ini, pembiayaan iklim antarabangsa hanya berjumlah sekitar US$300 bilion setahun.

“Jumlah ini masih jauh daripada keperluan US$3 trilion setahun yang dianggarkan diperlukan oleh negara membangun sahaja bagi memenuhi keperluan mitigasi dan adaptasi menjelang 2030,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar berkata Malaysia sedang berusaha memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim.

Malaysia katanya, memberi tumpuan kepada penambahbaikan akses kepada pembiayaan hijau, penyelarasan piawaian dan memposisikan Asia Tenggara sebagai hab inovasi tenaga bersih dan pelaburan mampan, katanya.

Menjelang COP30 di Belem, Brazil pada November ini, Anwar menggesa agar tumpuan beralih daripada aspirasi kepada pelaksanaan.

"Keadilan iklim pada asasnya berkait rapat dengan pengagihan, melibatkan modal, risiko dan tanggungjawab," kata Anwar.

Beliau berkata Malaysia melihat kesihatan, iklim dan kewangan sebagai satu kesatuan yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan.

Katanya, persekitaran yang tercemar boleh melemahkan sistem kesihatan, manakala sistem kesihatan yang kekurangan dana pula akan menjejaskan daya tahan sesebuah negara.

"Kedua-duanya terjejas apabila beban hutang negara menyempitkan ruang dasar kebangsaan," katanya.

Anwar tiba di sini pada Sabtu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang dianjurkan Brazil atasjemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Malaysia secara rasmi menjadi Rakan BRICS mulai 1 Jan tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan