WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bantuan Terbaik Buat Anak Sulung Mangsa Tragedi Di Sungai Korok - Fadhlina

07/07/2025 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan bantuan terbaik kepada anak sulung pasangan yang ditemukan maut bersama empat lagi anak mereka di dalam kereta yang tenggelam dalam Sungai Korok di Jitra pagi tadi.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan tragedi itu sebagai berita yang sangat menyayat hati.

Beliau berkata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Abdul Rahim Mat yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri  telah menziarahi kanak-kanak itu, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, dan keluarganya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar petang tadi.

“Saya pastikan anakanda Putri Qisya diberi bantuan terbaik. Jabatan Pendidikan Negeri Kedah akan membantu menguruskan semua keperluan anakanda,” katanya.

Fadhlina berkata beliau mendoakan agar Putri Qisya Nur Izzat dan keluarganya diberikan ketabahan serta kesabaran dalam menempuh ujian itu.

Mayat enam beranak, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan yang dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman di Jitra Sabtu lepas, ditemukan di dalam kereta mereka di Sungai Korok di Jitra pada pagi tadi.

Adik kepada Muhammad Azim Izat, Muhammad Adlan Solehin, 24, memaklumkan anak sulung pasangan berkenaan, Puteri Qisya Nur Izzat  tidak mengikuti keluarga ke rumah saudara pada hari kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan