WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Kategori Pengguna Selangor Dijangka Tidak Terkesan Pelarasan Tarif Air - Exco

10/07/2025 07:02 PM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Dua kategori pengguna di Selangor dijangka tidak akan terkesan dengan pelarasan tarif air baharu yang bakal berlaku dalam tempoh terdekat, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim.

Izham berkata dua kategori itu adalah penerima bagi program pemberian air percuma Skim Air Darul Ehsan (SADE), terdiri daripada golongan B40 serta pengguna domestik dan komersial yang menggunakan air kurang 20 meter padu.

Beliau berkata pelarasan itu merupakan fasa kedua daripada sebelum ini yang berkuat kuasa pada 1 Feb 2024.

“Pelarasan ini adalah secara berfasa. Fasa pertama telah dibuat (pada awal 2024) melibatkan sektor komersial dan ada kenaikan sikit kepada pengguna domestik.

“Untuk fasa kedua ini, sepatutnya pada 1 Julai baru-baru ini tetapi ada kelewatan sikit dan sekarang kita tunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan pada 19 Jan tahun lepas memaklumkan kadar baharu tarif air bagi lebih lapan juta rakyat mulai 1 Feb 2024, iaitu melibatkan 2,661,743 akaun, termasuk pengguna domestik serta bukan domestik merangkumi rumah ibadat, perusahaan kecil, sederhana hingga perusahaan multinasional.

Amirudin berkata kategori domestik termasuk rumah kos rendah, kondominium, estet juga kuarters kerajaan dengan caj minimum bagi pengguna domestik akan beralih kepada RM6.50 daripada RM6.

Mengulas lanjut, Izham berkata kerajaan negeri memang ada membuat permohonan kepada SPAN untuk melaksanakan pelarasan tarif air namun ia dilakukan secara berfasa sejak awal tahun lepas kerana melibatkan jumlah pengguna yang besar.

Beliau berkata syarikat yang menguruskan air beroperasi dalam keadaan rugi susulan terlalu lama tarif air tidak dinaikkan.

“Sebab itu kita memohon (pelarasan tarif) bagi memastikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan dapat beroperasi dalam keadaan baik, dan sekarang ini pun banyak belanja diperlukan (bagi pengurusan air),” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor hari ini mengadakan sesi libat urus bersama SPAN bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri ini.

Sesi libat urus yang diketuai Amirudin dan turut disertai Air Selangor itu diadakan sempena kunjungan Pengerusi SPAN Datuk Abdul Kadir Mohd Din ke pejabat menteri besar hari ini.

Semalam, SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima permohonan daripada operator perkhidmatan air di sepuluh negeri untuk menyemak semula tarif bekalan air masing-masing.

Menurut SPAN, hingga 30 Jun lepas permohonan yang diterima adalah daripada operator di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Selangor. 

Suruhanjaya itu bagaimanapun memaklumkan  semua permohonan berkenaan masih dalam proses semakan dan belum dimuktamadkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan