IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI sempena sambutan Maal Hijrah 1447H di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, di sini, pada Ahad (13 Julai).
Program bertemakan “Hijrah Membina Ummah MADANI” itu akan bermula dari 5.30 pagi hingga 11 malam, menampilkan pelbagai pengisian berunsur keagamaan, kerohanian dan kekeluargaan untuk seluruh lapisan masyarakat.
Menurut kenyataan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun, objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat menerusi penghayatan konsep hijrah dalam konteks pembangunan rohani, sahsiah dan perpaduan komuniti.
“Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh program ini dan menyarankan agar diperluas ke seluruh sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Parlimen Tambun menerusi sumbangan tunai yang telah diluluskan,” menurut kenyataan itu.
Antara aktiviti yang dijadualkan ialah demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, persembahan nasyid oleh kumpulan popular seperti Raihan, Unic dan Mirwana serta pertandingan nasyid melibatkan sekolah dalam kawasan Parlimen Tambun.
Turut diadakan ialah Forum Hijrah menampilkan PU Riz dan isterinya Neelofa dengan pengacaraan oleh Muhammad Kamil Abdul Munim, selain kempen “Solat Subuh Macam Jumaat” bersama selebriti seperti Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak, Qawiyaro dan Shamsul Ghau-Ghau.
Malam Mahabbah MADANI pula bakal diserikan dengan persembahan qasidah, bacaan doa, selawat beramai-ramai serta penyerahan sumbangan kepada golongan memerlukan.
Pelbagai aktiviti riadah dan kekeluargaan turut disediakan termasuk street soccer, gusti lengan, larian amal, pertandingan memasak, kenduri rakyat serta sesi bersama pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Karnival ini turut menampilkan konvoi motosikal belia, gotong-royong membersihkan kubur, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan, pameran agensi kerajaan, gunting rambut dan penukaran minyak hitam secara percuma.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial