WILAYAH - TENGAH > BERITA

Waspada Akaun TikTok Palsu Guna Nama Saifuddin Nasution

12/07/2025 11:35 AM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Orang ramai diminta berwaspada terhadap kewujudan akaun palsu di TikTok yang menyalahgunakan nama dan gambar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk tujuan penipuan.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan akaun tersebut mendakwa kononnya Saifuddin ingin menyalurkan bantuan kewangan menerusi pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan bio.

“Sebenarnya, ini adalah satu penipuan yang bertujuan memperdaya orang ramai untuk membuat bayaran pendahuluan,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Menteri berkenaan telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak TikTok berhubung perkara itu.

Setakat ini, tiga akaun palsu telah disekat oleh TikTok iaitu Saifuddin_Nasution0, Saifuddin_Nasution1 dan Saifuddin_Nasution12.

Pejabat itu turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan diwujudkan, dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak.

Menurut kenyataan itu, Saifuddin tidak pernah dan tidak akan meminta sebarang bayaran bagi tujuan bantuan, dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat.

Pejabat Menteri Dalam Negeri turut menjelaskan bahawa akaun TikTok rasmi milik Saifuddin menggunakan nama penuh beliau, iaitu SAIFUDDIN_NASUTION, dan boleh diakses melalui pautan https://www.tiktok.com/@saifuddin_nasution?_t=ZS-8xxBQQ1Org2&_r=1.

“Orang ramai digesa merujuk saluran rasmi Pejabat Menteri Dalam Negeri untuk maklumat sahih dan terkini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan