WILAYAH - TENGAH > BERITA

PIID 2025 Perkasa Hubungan Strategik, Kerjasama Profesional ATM-SAF  

12/07/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Program Professional Interaction and Intellectual Discourse 2025 (PIID 2025) anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Melaka baru-baru ini bertujuan memperkasa hubungan strategik serta memperkukuh kerjasama profesional antara kedua-dua angkatan.

Markas ATM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program selama tiga hari bermula 10 Julai lepas itu melibatkan penyertaan 40 pegawai kanan ATM dan SAF, dengan matlamat meningkatkan kesefahaman strategik, membina kepercayaan dan memperluas jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Kemuncak program ini adalah sesi Intellectual Discourse yang melibatkan pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel dan Mejar atau setaraf dari kedua-dua negara, bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Panglima Angkatan Bersenjata Singapura Laksamana Madya Aaron Beng.

“Pelbagai isu strategik dibincangkan termasuk potensi kerjasama industri pertahanan ASEAN, hubungan pasca krisis India-Pakistan serta persaingan kuasa besar di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PIID 2025 kali ini turut menyaksikan buat julung kalinya penglibatan pegawai peringkat pertengahan sebagai usaha memperkukuh pandangan strategik baharu serta memupuk semangat setiakawan dalam suasana santai dan interaktif.

“PIID 2025 membuktikan komitmen serta kebersamaan ATM dan SAF dalam memperkukuh jalinan kerjasama dua hala demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Selain itu, PIID 2025 menjadi platform penting dalam merangka pemikiran strategik dua hala berhubung cabaran keselamatan serantau dan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


TAG:


NRA NAM RAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan