WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota ARF Gesa Semenanjung Korea Dinyahnuklear Sepenuhnya

12/07/2025 07:10 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Forum Serantau ASEAN (ARF) telah menggesa pelaksanaan sepenuhnya semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang berkaitan serta usaha antarabangsa bagi mencapai penyahnuklearan total di Semenanjung Korea.

Menurut kenyataan Pengerusi ASEAN bagi ARF ke-32, semua anggota telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan ujian peluru berpandu balistik antara benua dan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara baru-baru ini serta ketegangan yang semakin memuncak di Semenanjung Korea, yang merupakan perkembangan menggusarkan dan mengancam keamanan serta kestabilan di rantau ini.

“Mesyuarat menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Semenanjung Korea dan menekankan kepentingan menyambung semula dialog aman antara semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Semenanjung Korea yang bebas nuklear,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa usaha diplomatik termasuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk dialog aman antara semua pihak berkepentingan perlu terus menjadi keutamaan.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa semua anggota ARF mengulangi kesediaan mereka untuk memainkan peranan yang membina termasuk melalui penggunaan platform diterajui ASEAN seperti ARF dalam mempromosikan suasana yang kondusif untuk dialog aman dalam kalangan pihak berkepentingan.

Beberapa menteri turut menekankan kepentingan untuk menangani isu kemanusiaan yang menjadi kebimbangan masyarakat antarabangsa termasuk penyelesaian segera membabitkan kes penculikan dan tahanan.

Gesaan ke arah penyahnuklearan sepenuhnya di Semenanjung Korea tercetus daripada kebimbangan global yang berterusan terhadap program senjata itu di Korea Utara yang terus dilihat sebagai ancaman utama terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.

ARF terdiri daripada negara anggota ASEAN serta rakan dialognya termasuk Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, China, Jepun, New Zealand, Rusia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Turut serta termasuk Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor-Leste.

Timbalan Menteri Luar Pertama Korea Selatan Park Yoon Joo telah menghadiri AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan manakala Korea Utara tidak menyertai ARF, yang merupakan ketidakhadiran pertama sejak negara itu menyertai forum berkenaan pada tahun 2000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan