KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited untuk mencungkil lebih banyak inovasi sosial pada peringkat akar umbi di Sabah, bagi memastikan pengembangan ekosistem inovasi yang mampan di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata YIM ditubuhkan sebagai platform bagi inovasi akar umbi dan inovasi sosial dengan mandat mencari, membangun dan memadankan inovasi dengan dana pembangunan.
“Mandat kita yang diberi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah untuk mencari inovasi, kemudian membangun dan memadankannya dengan dana pembangunan. Inovasi yang kita cari ini adalah yang memberi impak kepada sosial, ekonomi dan alam sekitar,” katanya kepada Bernama.
Sharmila berkata perbezaan utama YIM, yang ditubuhkan pada Oktober 2008 di bawah MOSTI berbanding organisasi lain, ialah penekanan terhadap elemen dan aplikasi teknologi dalam inovasi sosial yang memberi impak kepada masyarakat.
“Bila kita sebut itu, maksudnya semua perniagaan atau semua bentuk model bisnes yang mengandungi inovasi, akan tergolong dalam kategori inovasi sosial yang memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Sharmila berkata baru-baru ini, YIM bersama Kementerian Ekonomi menjalankan projek perintis untuk membantu inovator sosial di akar umbi mengkomersilkan produk mereka dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan.
Beliau berkata seramai 11 inovator sosial dipilih dengan empat daripadanya dari Sabah, yang masing-masing menerima peruntukan RM80,000 bagi memenuhi keperluan dalam projek yang dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan.
“Projek ini bermula Jun tahun lepas dan perlaksanaan tamat bulan lepas. Dana telah disalurkan kepada inovator ini dan hasilnya memberangsangkan setakat ini. YIM membantu meningkatkan kapasiti perniagaan termasuk penyediaan mesin, latihan dan pembangunan produk mampan.
“Bagaimanapun, kita akan menilai dalam tempoh enam bulan lagi kesannya kepada mereka. Penilaian ini meliputi perkembangan perniagaan, keuntungan dan kesan yang mereka berikan kepada ekonomi setempat," katanya.
Sharmila berkata antara inovator sosial di Sabah yang berjaya dibantu YIM ialah Pengarah dan Pengasas Chanteek Borneo Anne Antah, yang menjalankan perniagaan aksesori serta pakaian dengan motif kontemporari etnik Sabah, yang boleh dipakai pada waktu rasmi dan juga setiap hari.
Selain Anne, YIM juga membantu Joardy Mardeko, seorang inovator yang mencipta Coconut Patty Burger - inovasi makanan sihat berupa patti burger yang dihasilkan daripada ampas kelapa, kaya dengan serat semula jadi dan menekankan aspek pemakanan seimbang.
Sharmila berkata nuget yang biasanya dibuat daripada ayam atau daging, kini berjaya diinovasikan oleh Sariyaman Sabur yang memperkenalkan nuget ubi kayu, yang kaya dengan karbohidrat kompleks dan serat tinggi, menjadikannya pilihan makanan yang menyokong gaya hidup sihat.
Selain itu, YIM turut membantu projek akuafarm di Kundasang yang pada asalnya terjejas akibat gempa bumi pada 2015, namun berjaya dibangunkan semula dengan penggunaan teknologi akuakultur dan hidroponik terkini.
“Kami juga bekerjasama dengan universiti untuk memulakan inovasi yang belum ada di Malaysia. Itulah maksudnya daripada peringkat penyelidikan itu sendiri hingga ke arah pengkomersilan yang akan memberikan impak sosial," katanya.
Terbaharu, YIM sedang menjalankan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah berkaitan inovasi untuk pendakian gunung, namun buat masa ini beliau tidak menjelaskan secara terperinci kerana masih belum dimuktamadkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial