WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bilik Kuliah Pintar, Kelas Digital Di Enam Kampus ADTEC-JTM Perkukuh Integrasi TVET

13/07/2025 03:02 PM

KULAI, 13 Julai (Bernama) -- Projek perintis pembuktian konsep (POC) Bilik Kuliah Pintar dan Kelas Digital di enam kampus Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) diwujudkan bagi memperkukuh integrasi pendidikan dan industri dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata projek POC antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) selama enam bulan hingga Disember depan di ADTEC JTM Kampus Senai, Kulai itu dikenal pasti sebagai pusat rujukan utama bagi inisiatif Bilik Kuliah pintar.

Beliau berkata lima kampus ADTEC di Pasir Gudang, Johor Bahru; Pedas, Negeri Sembilan; Selandar, Melaka; Perai, Pulau Pinang dan Jerantut, Pahang pula merupakan kelas digital.

"POC ini maksudnya ia 'pilot stage' dan tidak melibatkan kos kepada KESUMA ataupun kerajaan sebab ini merupakan satu daripada kerjasama antara KESUMA dengan Huawei Technology susulan lawatan mengiringi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke China pada November tahun lepas dan kemudian kita buat satu memorandun persefahaman (MoU) dengan Huawei.

"POC ini akan mengambil masa enam bulan dan pada peringkat pertama ini kita akan memberikan latihan kepada tenaga pengajar kita. Jadi dalam masa dua hari lepas ada lebih kurang 40 orang tenaga pengajar di bawah JTM telah mengikuti kursus inilah supaya mereka boleh faham bagaimana menggunakan sistem ini," katanya.

Sim berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Bilik Kuliah Pintar 'Smart Classroom' TVET di ADTEC JTM Kampus Senai di sini hari ini.

Beliau berkata institusi TVET bukan hanya menekankan kemahiran teknikal malah perlu juga memberi perhatian kepada pembangunan kemahiran insaniah ‘power skill’ seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Beliau berkata nilai tambah itu penting untuk meningkatkan kebolehpasaran pelajar selepas tamat pengajian.

"Saya selalu tekankan institusi TVET bukan saja boleh memberikan pendidikan dari segi kemahiran tetapi pada masa sama sebagai nilai tambah, dia perlu menyemaikan kemahiran contohnya apa yang kita panggil ‘power skill’ ataupun ‘soft skill’.

"Sudah tentu dari segi komunikasi, kepentingan untuk belajar bahasa dan ini kita akan pertimbangkan untuk menawarkan kursus bahasa seperti bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil dan sebagainya. Ini untuk menambahkan lagi nilai dan kebolehpasaran pelajar kita selepas mereka tamat pengajian," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan