IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Seorang suri rumah dari Taiping terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM144,558 akibat ditipu oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian pada awal Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata mangsa, seorang wanita berusia 46 tahun, telah membuat laporan polis pada 9 Julai sekitar jam 3.13 petang, setelah menyedari dirinya ditipu oleh sindiket tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi beberapa individu melalui aplikasi Telegram, yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian. Mangsa diminta untuk mengikuti beberapa akaun dalam aplikasi e-dagang Shopee dan Lazada untuk mendapatkan bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa juga ditawarkan wang antara RM5 hingga RM8 bagi setiap akaun yang diikuti, bergantung kepada jumlah ‘view’ dan ‘rating’ yang diterima oleh pemilik akaun di kedua-dua aplikasi tersebut.
“Meskipun mangsa menerima ganjaran setelah melakukan kerja yang diminta, wang yang dimasukkan ke dalam akaun mangsa tidak dapat dikeluarkan,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa dia telah melakukan kesalahan semasa menjalankan kerja tersebut dan diminta membuat pembayaran kepada sindiket berkenaan untuk mendapatkan kembali akaun Shopee dan Lazada miliknya.
Beliau berkata mangsa telah melakukan 22 transaksi ke 12 akaun berbeza sebagaimana yang diminta oleh suspek, namun akaun Shopee dan Lazada mangsa tetap tidak dikembalikan.
“Setelah transaksi terakhir, mangsa sekali lagi diminta memasukkan wang ke dalam akaun yang diminta, namun tiada apa yang berlaku. Pada ketika itulah mangsa menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial