WILAYAH - UTARA > BERITA

Dua Warga China Maut Kemalangan Di Lebuhraya PLUS

15/07/2025 11:21 AM

IPOH, 15 Julai (Bernama) -- Dua lelaki warga China maut manakala pemandu warga tempatan cedera selepas kereta dinaiki terbabas, ketika cuba mengelak sebuah lori di Kilometer 316.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 10.30 malam dan mangsa dikenali sebagai Chong Hong serta Yucheng Pan kedua-duanya berusia 41 tahun, maut di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Pemandu kereta Toyota Vios Lau Yong Kheng, 56, pula cedera di leher, kaki dan tangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang berada di lorong kanan, cuba mengelak sebuah lori menukar laluan di hadapan sebelum hilang kawalan.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengesan pemandu lori terbabit dan mendapatkan rakaman kamera papan pemuka bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Johari berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata bomba menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada 8.53 malam, melibatkan tiga mangsa tersepit dalam kenderaan terlibat.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah menggunakan peralatan penyelamatan khas untuk mengeluarkan mangsa, sebelum diserahkan kepada polis dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan