WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Pemindahan Air Dari Sungai Perak Ke Tasik Bukit Merah Diminta Dipercepat - Saarani

21/07/2025 05:31 PM

IPOH, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak meminta kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi menangani isu kekurangan bekalan air, terutama semasa musim kemarau.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek itu bukan hanya mampu mengatasi masalah pengairan sawah di utara Perak malah turut merangkumi keperluan bekalan air bersih bagi menyokong pembangunan Kawasan Industri Getah Bersepadu (KIGIP).

“Dahulu permintaan kita untuk projek ini (air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah) khusus untuk mengatasi masalah pengairan sawah di sebelah utara Perak.

“Sekarang ia bukan hanya kerana masalah itu malah tujuan projek ini dapat membantu membangunkan loji rawatan air (LRA) baharu yang membolehkan kita membekalkan air untuk kegunaan KIGIP, orang utara Perak dan lebihannya dijual kepada Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan siri 5/2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Azhar Hashim meminta kerajaan menyegerakan pelaksanaan projek berkenaan bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air untuk tujuan pertanian khususnya penanaman padi.

Menyentuh cadangan pembenihan awan di kawasan itu, Saarani berkata perkara tersebut perlu dirujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana ia bergantung kepada faktor teknikal seperti arah angin dan formasi awan.

“MetMalaysia telah menasihatkan sekarang ini bukan masa sesuai kerana arah angin tidak menentu untuk memastikan sama ada boleh atau tidak hujan itu diturunkan ke dalam Tasik Bukit Merah. Kita tak mahu perkara itu menjadi sia-sia,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini petani di kawasan terbabit terpaksa bergantung kepada bekalan air dari sungai berhampiran di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai langkah sementara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih RM1.6 juta diperuntukkan bagi pemberian insentif kepada 399 pesara kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka dalam perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata pemberian insentif ini tertakluk kepada syarat perkhidmatan terkumpul minimum 15 tahun bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta 20 tahun bagi Kumpulan Pelaksana, selain berusia 50 tahun ke atas.

“Pesara ini adalah dalam kalangan penjawat awam yang telah bersara antara 1 Jan hingga 31 Dis 2024. Mereka juga menerima insentif bernilai RM4,000 setiap seorang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP),” katanya.

 -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan