MELAKA, 21 Julai (Bernama) -- Melaka menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah mengarahkan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan segera susulan situasi jerebu ketika ini.
Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan JPBD perlu mengambil tindakan proaktif mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Kerajaan Melaka mengambil maklum mengenai situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, dipercayai berpunca daripada jerebu rentas sempadan kesan daripada tiupan angin barat daya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan setakat 2 petang, tiga lokasi di Melaka menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu Alor Gajah (157), Bukit Rambai (94) dan Bandaraya Melaka (86).
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.
“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar buat sementara waktu.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap situasi tersebut dijalankan secara berterusan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Melaka dengan kerjasama JAS negeri dan Pusat Kawalan Bencana Kebangsaan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Maklumat terkini mengenai bacaan IPU boleh diperoleh melalui https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau memuat turun aplikasi mudah alih MyJAS EQMS di Google Play atau App Store.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial