JAKARTA, 22 Julai (Bernama) -- Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia telah mengenal pasti 16 individu sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah yang disyaki sengaja dilakukan, ketika negara itu bergelut menangani peningkatan kejadian kebakaran di beberapa wilayah.
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata 11 lagi kes masih dalam siasatan, dengan semua proses perundangan dijalankan mengikut undang-undang negara.
Beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan seiring dengan operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan tindak balas yang menyeluruh dan terkoordinasi.
“Pasukan petugas undang-undang telah mengambil tindakan dengan menamakan 16 suspek. Seiring dengan pemadaman kebakaran, operasi penguatkuasaan undang-undang memastikan tindak balas yang terkoordinasi,” katanya dalam kenyataan.
Suharyanto menyatakan bahawa kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan semua daerah dan bandar di Riau, dengan Bengkalis dan Kampar paling teruk terjejas, dengan lebih 100 hektar tanah terbakar di kedua-dua kawasan itu.
Secara keseluruhan, 12 kawasan telah terjejas, termasuk Rokan Hilir, Siak dan Indragiri Hilir, dengan lebih 50 hektar musnah dalam kebakaran, tambahnya.
Bagi memperkukuh usaha pemadaman kebakaran, beliau berkata dua helikopter peronda telah dikerahkan manakala jumlah helikopter pengebom air ditambah kepada lima.
Pasukan darat turut diperkukuh dengan peralatan tambahan dan motosikal khas bagi pemadaman kebakaran hutan, selain penambahan anggota tentera dan polis dari Riau, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial