WILAYAH - SARAWAK > BERITA

257 Kes Kemalangan, 22 Kematian Direkodkan Di JRTB Setakat Jun - Polis

27/07/2025 10:29 AM

KOTA BHARU, 27 Julai (Bernama) -- Sebanyak 257 kes kemalangan membabitkan 442 kenderaan pelbagai jenis direkodkan berlaku di jajaran Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli setakat Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata daripada jumlah itu, lapan kes ialah kemalangan maut dengan mencatatkan 22 kematian termasuk 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban pada 9 Jun lepas.

"Dalam kemalangan maut ada kalanya terdapat lebih seorang mangsa yang terlibat. Sebagai contoh, satu kes kemalangan maut berlaku membabitkan sebuah bas pada 9 Jun dengan 15 kematian dilaporkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Samad berkata kenderaan yang terlibat dalam kemalangan termasuk kereta sebanyak 287 buah, kenderaan pelbagai guna (MPV) atau van (55), motosikal (42), trak pikap (38), lori (17) dan bas (3).

Sebelum ini, Bernama melaporkan berdasarkan rekod bancian trafik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2024, jajaran JRTB masih berada dalam tahap perkhidmatan yang baik dengan konfigurasi jalan sedia ada boleh menampung jumlah trafik semasa yang dicerap. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jumlah trafik harian yang dicerap adalah sebanyak 2,409 kenderaan sehari merangkumi 751 kenderaan berat, iaitu bersamaan dengan 31.2 peratus.

"Laluan JRTB dikategorikan sebagai mountainous atau berbukit dengan reka bentuk jajaran yang disesuaikan dengan kontur dan bentuk muka bumi di sekitar Banjaran Titiwangsa manakala reka bentuk geometri jalan dua lorong, dua hala ini telah memenuhi keperluan teknikal dan fungsi jalan itu dibina," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKR Datuk Roslan Ismail berkata di bawah Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya, JKR telah melaksanakan Rawatan Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan blackspot dan mendapati sebanyak 16 lokasi di sepanjang laluan JRTB sering berlaku kemalangan sejak 2018.

"Pendekatan rawatan lokasi blackspot ini berasaskan prinsip Low Cost, High Impact, sekiranya kaedah rawatan yang dilaksanakan adalah tepat dengan jenis kemalangan yang berlaku, kemalangan di kawasan lokasi terbabit akan berkurangan dengan kos penambahbaikan yang rendah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan