Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 22 Julai (Bernama) -- Data dan pendigitalan menjadi alat yang penting dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi perdagangan dan logistik Sabah, kata seorang pakar logistik.
Bekas Presiden Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia merangkap Naib Presiden CILT International bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata transformasi digital termasuk pembangunan platform data logistik berpusat adalah penting bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing di peringkat serantau dan global.
“Tanpa data, kita tidak dapat merancang, menyelaras dan mengoptimumkan operasi.
“Data membolehkan kita menilai prestasi dan mengenal pasti jurang, sama ada dalam operasi pelabuhan, sambungan darat mahupun prosedur kastam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pelabuhan di Sabah, terutamanya Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, telah berkembang dari segi kapasiti dan kepentingannya, namun negeri itu masih berdepan isu sistem data yang tidak tersusun serta penyelarasan yang lemah antara pemegang kepentingan.
Ramli berpandangan bahawa perlu ada satu ekosistem perdagangan digital yang bersepadu, melibatkan pihak kastam, pelabuhan, penghantar barang dan agensi kerajaan beroperasi menerusi satu platform bersepadu bagi mempercepatkan masa pengendalian dan membolehkan penjejakan kargo secara masa nyata.
Sabah juga disyorkan agar mempercepatkan penggunaan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), sensor Internet Pelbagai Benda (IoT) dan analitik ramalan bagi menyokong aliran perdagangan dan perancangan strategik, katanya.
Dengan merujuk kepada amalan terbaik di negara seperti Vietnam dan Singapura, Ramli turut menegaskan bahawa Sabah perlu beralih kepada pendekatan berasaskan data dalam memudahcara perdagangan, selaras dengan inisiatif nasional seperti Jendela Tunggal Nasional (NSW) dan matlamat keterhubungan ASEAN.
“Ini bukan soal mengguna pakai teknologi sekadar mengikut trend, tetapi menggunakan pendigitalan untuk memperkukuh daya saing, meningkatkan ketelusan dan membina ekosistem logistik yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial