WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Krisis Sempadan: Pakar Gesa Pengurusan Maklumat Lebih Berkesan Tangani Berita Palsu

27/07/2025 05:42 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing dan Kenny Teng

BANGKOK, 27 Julai (Bernama) -- Pengurusan maklumat yang tepat ketika krisis pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja amat penting bagi mengelakkan penyebaran berita palsu dan spekulasi yang boleh memburukkan lagi situasi semasa.

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan berkata, maklumat palsu yang tersebar khususnya melalui platform media sosial sering kali mencetuskan ketegangan antara rakyat kedua-dua negara, sekali gus mengeruhkan keadaan.

Beliau berpandangan walaupun akses kepada maklumat di media sosial tidak harus disekat, ia harus diurus dengan cermat. 

"Kerajaan kedua-dua negara perlu menyediakan bahan penerangan awam yang bersifat proaktif bagi menangkis naratif palsu, meningkatkan literasi maklumat dalam kalangan rakyat, serta bekerjasama dengan platform media sosial untuk segera memadam kandungan berbahaya," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Chaiwat turut mencadangkan agar rangkaian semak fakta diwujudkan melalui kerjasama antara media, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan sebagai langkah terbaik menangani maklumat tidak sahih.

Beliau turut menekankan peranan media tempatan dan antarabangsa dalam menyampaikan maklumat secara neutral, tepat dan pantas.

Pada Jumaat, Thailand dan Kemboja menafikan laporan yang mendakwa tentera Thailand telah mengambil alih kawalan ke atas Kuil Preah Vihear, antara kawasan yang menjadi titik panas pertikaian sempadan.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan yang tular di media sosial, yang memetik sumber tentera Thailand mendakwa pasukan Thai berjaya menawan Kuil Preah Vihear serta Wat Kaeo Sikha Khiri Svara.

Pada Sabtu, kerajaan Thailand menggesa media antarabangsa agar menyemak kesahihan imej dan maklumat sebelum menerbitkan laporan berkaitan ketegangan sempadan yang sedang berlaku.

Ia turut memberi amaran bahawa laporan yang tidak tepat atau mengelirukan boleh memburukkan lagi situasi dan mencetuskan salah faham serius di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Pensyarah Institut Kajian Keamanan, Universiti Prince of Songkla, Prof. Madya Chokchai Wongtanee turut berkongsi pandangan yang sama dengan Chaiwat, menekankan pentingnya membina daya tahan masyarakat terhadap manipulasi maklumat.

Chokchai berkata, kedua-dua pihak tidak seharusnya menggunakan media sosial untuk menyemai kebencian atau menimbulkan kemarahan rakyat masing-masing.

"Kita tidak boleh menutup media sosial secara keseluruhan, sebaliknya perlu memanfaatkannya sebagai saluran positif untuk menghentikan konflik," katanya.

Konflik pertikaian sempadan antara dua negara berjiran itu meningkat selepas insiden pada 28 Mei, yang kemudian memuncak pada Khamis hingga membawa kepada pertempuran bersenjata di sepanjang kawasan sempadan Kemboja-Thailand.

Setakat ini, lebih 20 nyawa terkorban di pihak Thailand, sementara pihak berkuasa Kemboja melaporkan kematian lima anggota tentera dan lapan orang awam. 

Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.

Kedua-dua negara berselisih pendapat mengenai isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamad selama beberapa dekad, dan pertikaian itu terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan