KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Wasco Bhd mengambil langkah awal untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalannya memandangkan Malaysia sedang bersedia untuk melaksanakan pendedahan mandatori alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF).
Kumpulan perkhidmatan infrastruktur tenaga itu berkata buat julung-julung kalinya ia akan menganjurkan Hari Kemampanan pada 29 Julai di Kuala Lumpur, bertemakan “Building a Responsible Value Chain Together” bagi membantu vendor membuat persediaan menghadapi keperluan kemampanan yang akan datang.
“Program selama sehari ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan membina kesiapsiagaan ESG dalam kalangan ekosistem vendor Wasco, dengan penekanan kepada pelepasan gas rumah kaca (GHG) Skop 3, ketekunan wajar hak asasi manusia dan pemerolehan secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program itu akan menampilkan ucaptama, sesi panel dan kaunter khidmat nasihat vendor yang menyediakan panduan praktikal berkaitan ESG. Antara acara kemuncak adalah perbincangan panel bertajuk “From Learning to Leading: Real Stories from the Sustainability Journey”, yang akan dikendalikan oleh wartawan penyiaran dan pembela ESG Freda Liu.
Antara segmen perkongsian ilmu ESG dalam acara itu termasuk sesi oleh Bursa Malaysia, UNGC Malaysia & Brunei dan pakar bebas yang akan menawarkan kit alat berkaitan pelaporan iklim, pematuhan sosial dan perolehan beretika.
Wasco yang baru sahaja memenangi Anugerah Kemampanan dan Tanggungjawab Sosial Korporat Malaysia 2025 berkata ia kini mengembangkan usaha ESG melangkaui operasi dalaman untuk memperkasa pihak-pihak berkepentingan dalam rantaian bekalannya.
“Kemampanan bukan lagi isu sampingan. Ia kini teras kepada penciptaan nilai jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Strategi Wasco Ariesza Noor.
“Walaupun sesetengah syarikat hanya menumpukan kepada kesedaran umum mengenai ESG, kami pergi lebih mendalam – menangani data iklim, ketelusan pembekal dan ketekunan wajar hak asasi manusia melalui panduan praktikal yang khusus mengikut sektor,” katanya.
Beliau berkata walaupun banyak PKS dalam rantaian bekalan Wasco belum tertakluk secara langsung kepada keperluan pendedahan di bawah NSRF, penglibatan secara proaktif adalah penting.
“Kami sedar ramai rakan niaga kami belum terikat secara perundangan. Bagaimanapun, kesiapsiagaan tidak boleh ditangguhkan sehingga peraturan dikuatkuasakan. Sebab itu kami bertindak lebih awal – bukan untuk mengaudit, tetapi untuk memperkasa,” tambah Ariesza.
NSRF, yang diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sejajar dengan piawaian global yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB), yang mewajibkan pendedahan berdasarkan IFRS S1 dan S2 – termasuk pelepasan gas rumah kaca (GHG) Skop 1, 2 dan 3.
Pelaksanaan secara berfasa akan bermula pada 1 Januari, 2025, dengan Syarikat Tersenarai Pasaran Utama Tier 1 (iaitu yang mempunyai permodalan pasaran RM2 bilion dan ke atas) diwajibkan mematuhi terlebih dahulu.
Syarikat lain di Pasaran Utama dijangka menyusul pada 2026, manakala syarikat di Pasaran ACE dan entiti besar yang tidak tersenarai (dengan hasil melebihi RM2 bilion) perlu mematuhi mulai 2027, dengan penerimaan penuh dijangka menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial