WILAYAH - TENGAH > BERITA

Bosch Lantik Darren Chan Sebagai Pengarah Urusan Bagi Malaysia

24/07/2025 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bosch melantik Darren Chan Chon Hoe sebagai Pengarah Urusan Bosch Malaysia berkuat kuasa 1 Julai, 2025, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama memegang jawatan itu.

Jawatan baharu itu adalah tambahan kepada tanggungjawab sedia ada Chan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Bosch Rexroth Malaysia, serta Ketua Teknologi Serantau untuk hidraulik industri bagi Bosch Rexroth ASEAN.

Menurut kenyataan pada Khamis, Bosch menjelaskan Chan menggantikan Presiden Serantau Bosch di Asia Tenggara, Vijay Ratnaparkhe, yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Interim sejak 11 bulan lepas.

“Susulan pelantikan ini, Ratnaparkhe akan kembali menyambung tanggungjawab serantau beliau sepenuhnya,” tambah Bosch.

Chan mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam automasi perindustrian, dan pernah memegang jawatan kepimpinan di seluruh Asia Tenggara dalam sektor seperti elektronik, semikonduktor, automotif dan industri am.

Beliau gembira atas pelantikan tersebut dan menganggapnya sebagai peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Malaysia.

“Usaha menggabungkan operasi dan kehadiran Bosch selama lebih satu abad di Malaysia dengan 3,700 rakan sekutu di seluruh negara serta pengalaman saya, saya mahu memperkukuh kerjasama awam-swasta dan memajukan pembangunan bakat secara berterusan, yang menjadi faktor penting untuk meningkatkan pendapatan negara kasar per kapita,” katanya.

Chan berkata kehadiran global Bosch, dengan kira-kira 490 anak syarikat di lebih 60 negara, membolehkan pihaknya menggabungkan pengalaman global dengan pemahaman tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan