WILAYAH - UTARA > BERITA

Empat Lelaki Ditahan, Bunga Ganja Bernilai RM3.72 Juta Dirampas

24/07/2025 12:52 PM

GEORGE TOWN, 24 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki dan merampas 112.1 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.72 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua suspek termasuk seorang warga Vietnam yang ditahan dalam operasi bermula 10 pagi Selasa hingga 3 pagi Rabu itu berusia 31 hingga 39 tahun.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di sebuah bilik hotel dan seorang lagi suspek di lobi hotel yang berperanan sebagai ‘penghantar’ dengan pemeriksaan menemukan 9,232 gram (g) ganja serta 4,238g bunga ganja di dalam sebuah beg kanvas.

"Polis kemudiannya menahan lelaki Vietnam di Seberang Jaya yang membawa kepada serbuan di sebuah inap desa di kawasan sama yang dijadikan stor penyimpanan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata pemeriksaan di rumah itu menemukan 105 bungkusan bunga ganja seberat 97.7kg dan siasatan mendapati sindiket berkenaan menyewa inap desa jenis kondominium itu sejak minggu lepas.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan bunga ganja daripada rangkaian sindiket dadah antarabangsa di negara jiran sebelum menyeludup masuk ke negara ini menggunakan jalan darat untuk diedarkan ke sekitar negeri ini serta Kuala Lumpur.

Mohd Alwi berkata hasil risikan mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak Mac lepas dan polis sedang giat mengesan dalang utama dengan kesemua dadah dirampas itu boleh digunakan kira-kira 230,000 penagih.

"Polis turut menyita wang tunai RM1,300 dan tiga kenderaan iaitu Toyota Alphard, Honda City serta motosikal Yamaha Y16ZR yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM199,300.

"Tiga lelaki tempatan yang ditahan itu positif dadah dan mereka mempunyai tujuh hingga 13 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah," katanya dan memaklumkan kesemua mereka direman tujuh hari hingga 29 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan