KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan tahanan rumah sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan dalam penjara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas kerja berkaitan RUU itu telah dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan menerima kelulusan dasar.
“Maksudnya proses seterusnya adalah melakukan matriks pindaan dan KDN kena duduk dengan Jabatan Peguam Negara, dan selesai sahaja itu maka kita akan bentang… isunya adalah takrif tentang alat belenggu, satu tafsiran alat belenggu hanya gari (tetapi) saya cenderung untuk mentafsirkan alat belenggu termasuklah device.
“Tetapi kerana ada khilaf daripada segi pentafsiran itu maka biarlah drafter selesaikan dan saya janji secepat mana mereka selesaikan, secepat itu juga saya kembali kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan daripada segi pindaan,” katanya ketika menggulung usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengakui terdapat kesesakan dalam penjara dengan jumlah banduan terkini meningkat kepada 83,808 orang iaitu melebihi kapasiti asal 76,311.
Saifuddin Nasution berkata antara punca utama kesesakan adalah tahanan reman dan 65 hingga 70 peratus daripada jumlah banduan terlibat dengan kes berkaitan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan Seksyen 15(1) iaitu memasukkan dadah ke dalam badan, Seksyen 12(2) (memiliki dadah dalam kuantiti kecil) dan Seksyen 33C (kesalahan berulang).
Beliau berkata pelaksanaan tahanan rumah dengan pemantauan alat elektronik adalah antara penyelesaian yang sedang dirangka bagi menangani isu tahanan reman menyumbang kepada 35 peratus kesesakan itu.
Saifuddin Nasution juga berkata KDN berpandangan perlu ada elemen semak dan imbang terhadap proses pendaftaran yang dijalankan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata buat masa ini, proses itu dijalankan sepenuhnya oleh UNHCR tanpa penglibatan mana-mana agensi keselamatan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen atau agensi lain bagi tujuan verifikasi dan pemantauan.
“Kaedah mereka buat sekarang adalah mereka sendiri yang temu duga, mereka sendiri yang buat penilaian, mereka sendiri kemudian mengeluarkan kad… ada atau tidak agensi kerajaan yang memberikan verifikasi dan silang semak? Jawapannya tidak, seluruhnya adalah di atas pertimbangan UNHCR,” katanya.
Saifuddin Nasution turut mengingatkan semua individu bakal menyertai perhimpunan di ibu negara Sabtu ini agar mematuhi undang-undang dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan kekal komited terhadap prinsip kebebasan bersuara namun ia perlu dilaksana secara bertanggungjawab serta tanpa menimbulkan sebarang ketegangan kaum dan agama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial