PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) memberi kelegaan kepada isi rumah miskin dan miskin tegar sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan taraf hidup golongan terbabit.
Inisiatif nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertujuan membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih).
Usaha diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.
Seorang penerima, Noraini Ramli, 36, dari Kuantan, Pahang berkata bantuan yang diterima menerusi inisiatif berkenaan digunakan bagi mengembangkan perniagaan makanannya.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif Sejahtera MADANI. Ia akan beri tambahan untuk saya kembangkan perniagaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagi Lily Anak Nonong, 43, bantuan yang diterimanya menerusi Sejahtera MADANI dapat membantu perniagaan pembuatan kek lapisnya di Sarawak.
“Kami senang dapat bantuan Perdana Menteri, ia membantu saya sekeluarga,” katanya.
Nizam Aradin, 49, pula terharu dengan bantuan kerajaan berjumlah RM80,000 bagi membina rumah baharu.
"Ini satu kemudahan yang sangat besar bagi kami kerana sebelum ini kami hanya menumpang," katanya.
Nizam berkata nasib golongan daif kini terbela dengan inisiatif kerajaan dan agensi serta kehadiran pegawai serta wakil Ahli Parlimen dari kerajaan yang turun padang menyampaikan bantuan serta maklumat secara terus.
"Sebelum ini saya tidak menerima bantuan kerana belum terjejas. Namun selepas isteri saya ditimpa musibah dan kehidupan menjadi sukar, barulah bantuan sampai kepada kami. Mereka tampil untuk membantu," katanya yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor.
Sementara itu, ibu tunggal K Vasanthi, 57, yang menerima bantuan kebajikan RM3,000, berkata bantuan kerajaan itu memberi kelegaan kepada kehidupannya yang tersepit selepas suaminya meninggal dunia 19 tahun lepas.
"Saya ibu tunggal, ada masalah jantung dan tidak bekerja. Saya hanya terima pencen suami sebanyak RM485 sebulan. Itu sahaja pendapatan saya," katanya.
Vasanthi berkata bantuan itu akan digunakan untuk belanja barang dapur dan ia amat bermakna baginya yang sedang menjaga adik ipar berkerusi roda.
"Saya sangat bersyukur, hati rasa sedikit tenang walaupun hidup masih susah," katanya.
ICU JPM menerusi kenyataan sempena pelancaran inisiatif itu hari ini memaklumkan Sejahtera MADANI yang berpaksikan pendekatan whole-of-nation itu diperkukuh dengan elemen tambahan.
Ia memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak tinggi serta mampan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih dengan empat fokus iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.
Setakat 15 Julai lepas, sebanyak 306,403 KIR direkodkan dalam Sistem eKasih seluruh negara melibatkan 1,017 KIR dalam kategori Miskin Tegar dan 305,386 KIR Miskin.
Pada majlis itu, seramai 16 KIR eKasih terpilih dari seluruh negara menerima menerima bantuan menerusi inisiatif Sejahtera MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial