WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyambungan Semula Penerbangan Terus Kuching-Pontianak, Lonjak Ekonomi Sempadan

24/07/2025 08:28 PM

KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Penyambungan semula penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak, Indonesia oleh AirAsia dijangka merangsang semula aktiviti perdagangan rentas sempadan, pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pemulihan semula laluan itu menandakan kejayaan besar dalam usaha menghubungkan kembali Sarawak dan Kalimantan Barat, setelah beberapa tahun tergendala berikutan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, laluan ini turut mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Pontianak yang turut bergantung kepada akses ke perkhidmatan, pelancongan dan perniagaan di Sarawak.

“Ia membuka ruang kepada usahawan tempatan, agensi pelancongan, pengusaha pengangkutan dan komuniti sempadan yang bergantung kepada aliran pergerakan barang dan manusia antara kedua-dua wilayah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut berkata kemasukan semula pelawat dari Kalimantan Barat berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan Sarawak, khususnya dalam sektor ekopelancongan, perubatan dan kebudayaan.

Sementara itu, semakan menerusi aplikasi AirAsia MOVE mendapati penerbangan terus Kuching-Pontianak akan bermula semula pada 12 Sept ini, susulan pemulihan status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio di Kalimantan Barat.

Mengulas lanjut, Lee berkata kerajaan negeri turut berminat untuk meneroka laluan baharu ke seluruh wilayah Kalimantan, selaras dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

“Kita terbuka untuk menambah kekerapan penerbangan dan membuka laluan ke bahagian lain di Kalimantan.

“Pembangunan Nusantara membuka ruang baharu untuk integrasi ekonomi dan kerjasama dalam sektor pengangkutan antara kedua-dua wilayah. Kami akan terus bekerjasama erat dengan rakan sejawat di seberang sempadan untuk memperkukuh momentum ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan