KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Signify Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Philips Lighting memperhebat usaha menyokong agenda kelestarian negara dengan mempromosikan penyelesaian pencahayaan pintar dan membentuk kerjasama strategik industri.
Presiden Signify Malaysia Sukanto Aich berkata komitmen syarikat itu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (EECA) yang bertujuan mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi lebih hijau.
“Di Signify, visi kami adalah untuk membuka potensi luar biasa cahaya bagi mewujudkan kehidupan lebih cerah serta dunia lebih baik menerusi penyelesaian pencahayaan cekap tenaga dan mesra alam, yang banyak membantu pelanggan kami mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program Beyond Illumination: Signify Innovation Day 2025, baru-baru ini.
Sukanto berkata Signify komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih (Net Zero) menjelang 2040, selain merancang mengurangkan pelepasan karbon dalam rantaian nilainya sebanyak 50 peratus menjelang 2030 berbanding tahap pada 2019.
Inovasi pencahayaan pintar syarikat itu, termasuk teknologi LED ultra efisien yang menawarkan penjimatan tenaga hingga 30 peratus berbanding LED standard, serta lekapan lampu yang dicetak 3D menggunakan bahan kitar semula seperti jaring ikan terpakai.
“Dengan beralih daripada pencahayaan konvensional kepada LED, pengguna boleh menjimatkan hingga 50 peratus tenaga, dan menambah sistem pencahayaan pintar bersambung boleh menjimatkan lagi antara 20 hingga 30 peratus. Pencahayaan sahaja menyumbang kira-kira 30 peratus penggunaan tenaga di bandar, maka pengurangan hingga 80 peratus langkah penting ke arah sasaran peralihan tenaga di Malaysia,” katanya.
Signify turut menjalinkan kerjasama global bagi mempertingkat usaha kelestarian, termasuk kerjasama dengan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One.
“Kerjasama ini bukan semata-mata untuk tujuan pemasaran. Kami membekalkan sistem pencahayaan pintar bersambung yang membantu Mercedes mencapai matlamat sifar bersih sambil meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan pemandu serta jurutera menerusi inovasi seperti pencahayaan Nature Connect yang meniru cahaya semula jadi bagi menyokong ritma sirkadian,” kata Sukanto.
Sementara itu, Ketua Komersial Signify Malaysia bagi perniagaan profesional Iva Lee berkata perniagaan pencahayaan profesional menunjukkan pertumbuhan kukuh berikutan permintaan meningkat untuk bertukar kepada LED, sistem bersambung pintar serta pematuhan kawal selia baharu.
“Kami lihat perkembangan memberangsangkan di Malaysia apabila pelanggan di pejabat, sektor perindustrian dan infrastruktur awam beralih kepada pencahayaan pintar bagi memenuhi keperluan baharu di bawah EECA,” katanya.
Iva berkata insentif kerajaan seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) turut menggalakkan perniagaan untuk melabur dalam penyelesaian pencahayaan cekap tenaga dan solar.
“Menerusi 'Program Green Switch' kami, pelanggan dibantu untuk mengakses insentif itu yang menawarkan manfaat seperti pengecualian cukai hingga 100 peratus atau skim sewaan solar,” katanya.
Mengenai tenaga boleh diperbaharui, Iva berkata pelaburan Signify dalam penyelidikan dan pembangunan solar telah menghasilkan penyelesaian pencahayaan berprestasi tinggi dan tahan lebih lama dengan penambahan jangka hayat bateri.
Beliau berkata inovasi itu, termasuk sistem bersambung yang bersepadu dengan Interact City untuk pemantauan dan pengoptimuman jarak jauh, membantu ramai pelanggan mengurangkan bil tenaga dan kos penyelenggaraan sambil memastikan prestasi yang setimpal dengan setiap sen yang dibelanjakan.
Signify telah menyiapkan projek pencahayaan pintar berskala besar di seluruh dunia termasuk menaik taraf 150,000 lampu jalan di Jakarta menggunakan sistem Interact City.
Di Malaysia, pemasangan 6,000 lampu jalan LED bersambung di Melaka membantu mengurangkan kos tenaga hingga 80 peratus, selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial