KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia kini menganjurkan Pameran Opera Cina: Satu Pengenalan, Satu Peringatan bagi memberi peluang orang ramai menyelami keindahan dan keunikan seni persembahan tradisional Opera Cina.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran hingga 8 September di Galeri 1, Jabatan Muzium Malaysia di sini, ialah satu bentuk kesenian klasik yang sarat dengan nilai estetika, sejarah, simbolisme dan warisan turun-temurun masyarakat Tionghua.
Beliau berkata pameran itu berfungsi sebagai wadah pendidikan budaya yang memperkenalkan masyarakat umum kepada kehalusan kostum, muzik, solekan, skrip dan peranan-peranan dalam Opera Cina yang sering menggambarkan tema moral, cinta, perjuangan dan sejarah.
"Melalui pameran ini, Kementerian Perpaduan Negara berhasrat untuk menonjolkan betapa pentingnya pemeliharaan dan penghargaan terhadap seni budaya pelbagai kaum di Malaysia.
"Ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai hormat-menghormati, kefahaman antara kaum dan penghargaan terhadap perbezaan sebagai asas kepada kekuatan negara," menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara hari ini.
Pameran itu bukan sekadar pengenalan kepada seni budaya satu kaum namun sebagai satu peringatan bahawa warisan budaya adalah hak bersama dan harus dihormati serta dihargai oleh semua.
"Melalui pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya satu sama lain, kita dapat membina jalinan hubungan yang lebih erat antara komuniti berbilang bangsa dan agama di negara ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial