WILAYAH - TENGAH > BERITA

Wanita Tempatan Dipercayai 'Ibu Ayam' Antara 93 Individu Ditahan JIM Kuala Lumpur

25/07/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Seorang wanita warga tempatan dipercayai ‘ibu ayam’ antara 93 individu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama dan bangunan rumah kedai di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata pusat hiburan berkenaan menawarkan kalung tip mencecah RM3,000 kepada gadis pelayan pelanggan (GRO) dipercayai warga asing, yang akan membuat persembahan di atas pentas.  

Ketika serbuan pertama dijalankan bermula 11.45 malam, beliau berkata 21 individu ditahan terdiri daripada seorang wanita warga tempatan, masing-masing tiga wanita Thailand dan Vietnam, empat wanita Taiwan, lima lelaki Bangladesh dan tiga lelaki serta seorang wanita China.

“Kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)c (tiada pas) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B (salah guna pas) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala warga tempatan pula ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) (melindungi pendatang) Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada media di lokasi serbuan kedua di sini awal pagi tadi.

Wan Mohammed Saupee juga berkata baki 72 individu ditahan di sebuah bangunan rumah kedai dipercayai disewakan secara haram kepada pendatang tanpa izin pada harga RM500 bagi sebuah bilik yang dikongsi antara tiga hingga empat individu.

“Kebanyakan yang ditahan adalah warga Indonesia iaitu 28 lelaki dan 26 wanita, diiikuti 11 lelaki Bangladesh, masing-masing dua lelaki Myanmar, India serta Pakistan dan seorang lelaki Nepal. Kesemua ditahan mengikut Seksyen 15 (1) c (tinggal lebih masa) dan Seksyen 6(1)c (tiada pas) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pendatang tanpa izin untuk mengambil peluang mengikuti Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang dilanjutkan hingga 30 April tahun depan, khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa ingin memastikan bahawa Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah ibu kota yang aman, tenteram dan selamat.

“Berdasarkan statistik operasi, hampir dua minggu sekali JIM Kuala Lumpur akan mengadakan operasi terutama  di kawasan Chow Kit kerana di sini antara kawasan ‘hotspot’ yang kita dapati ramai warga asing tinggal secara tidak sah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan