WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Perpaduan Negara Cadang 21 Inisiatif Dalam RMK13 - Aaron

26/07/2025 02:48 PM

SIBU, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara mengemukakan 21 cadangan inisiatif kepada Kementerian Ekonomi bagi dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka dibentangkan minggu hadapan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata antara fokus utama yang diketengahkan dalam cadangan itu ialah inisiatif Pembinaan Negara Bangsa selari dengan matlamat kementerian dalam memperkukuh perpaduan nasional secara mampan.

“Pembinaan negara bangsa sangat penting untuk Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan budaya. Usaha ini perlu dirangka secara menyeluruh dan komprehensif supaya perpaduan yang dibina mampu bertahan dalam jangka panjang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy pada perasmian Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ngemah Anyi Jana serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak Diwarna Azool.

Beliau berkata kementerian kini sedang merangka satu kerangka menyeluruh ke arah pembinaan negara bangsa sebagai matlamat akhir perpaduan nasional yang turut memberi penekanan kepada pemupukan jati diri kebangsaan dalam setiap rakyat Malaysia.

Sambutan SMP 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai itu turut menampilkan pelbagai program dan aktiviti bertemakan perpaduan termasuk sukan rakyat, senam perpaduan, pertandingan bertandak/nopeng, tayangan filem patriotik, serta pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak (JPNIN) sebagai kesinambungan kepada gelombang perpaduan di peringkat kebangsaan.

Pelbagai aktiviti seperti pameran kebudayaan, dialog antara kaum, aktiviti belia dan persembahan seni turut dilaksanakan dalam usaha memperkukuh nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan