PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir dijalankan secara telus dan adil.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu.
“Jadi kita sekarang menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan itu dan kita memberikan sepenuh komitmen kita untuk memastikan bahawa siasatan berlangsung dengan adil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata selepas siasatan dilaksanakan, KPM akan melaksanakan tindakan susulan berasaskan undang-undang sedia ada.
“Kita tidak pernah pandang ringan mana-mana kes, apapun yang melibatkan kebajikan dan kesejahteraan warga KPM dan apabila kita berhadapan dengan kes ini, saya minta laluan untuk diberikan siasatan yang telus dan terbuka,” katanya.
Fadhlina berkata ketika ini beberapa intervensi krisis, antaranya sokongan psikologi dan emosi kepada warga sekolah dan keluarga sedang dilaksana.
“Ini peranan yang melibatkan kesejahteraan sekolah juga. Jadi kita mendapat pertolongan penuh daripada rakan kita Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberikan tumpuan untuk psiko emosi keluarga dan juga warga sekolah.
Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada awal pagi 17 Julai lepas di Papar, Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial