WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inisiatif SejaTi MADANI: Angkasa Mohon Dana Tambahan RM10 Juta, Laksana 100 Projek Baharu

26/07/2025 07:01 PM

MELAKA, 26 JulaI (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) memohon dana tambahan RM10 juta bagi membolehkan lebih ramai ahli koperasi menyertai Projek Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata permohonan itu bagi membiayai 100 projek baharu yang dirancang di bawah inisiatif tersebut, yang kini semakin menampakkan hasil positif dalam kalangan peserta sejak dilancarkan pada tahun lepas.

“Dana tambahan itu perlu sejajar dengan peningkatan permintaan daripada koperasi di seluruh negara, yang ingin melibatkan diri dalam pelbagai projek di bawah inisiatif tersebut yang meliputi sektor pertanian, pelancongan, kitar semula dan pengeluaran makanan.

“Ini kerana daripada lebih 16,000 ahli Angkasa yang berdaftar hanya sebahagian kecil telah menerima manfaat setakat ini dan saya percaya ia perlu diperluas,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Projek Ternakan Ikan Air Tawar (Keli) Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka Berhad, di Jalan Jampung Rembia Tengah di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah Adli Zahari. 

Beliau berkata sebelum ini, Angkasa telah diberikan 20 projek SejaTi MADANI bernilai RM2 juta, dengan empat daripadanya berjaya disiapkan sepenuhnya, manakala selebihnya telah mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dan dijangka siap akhir tahun ini.

“Untuk projek baharu di bawah permohonan dana tambahan tersebut, kami akan menumpukan kepada projek pengeluaran makanan, khususnya yang boleh mendatangkan hasil yang cepat dan beri kesan langsung kepada komuniti.

“Ini kerana isu kekurangan ayam, ikan, dan sayur-sayuran malah harga yang meningkat bukan satu perkara baharu dan ia perlu ditangani,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan