WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rexy Kenal Pasti Punca Kekalahan Pearly-Thinaah Di Final Terbuka Jepun

26/07/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada kegagalan gandingan wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah, ketika tewas di pentas final Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Pasangan negara itu terlepas peluang mencipta sejarah muncul sebagai beregu wanita pertama Malaysia merangkul kejuaraan Terbuka Jepun apabila tunduk 15-21, 14-21 di tangan pilihan utama dan juara bertahan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Rexy berkata kekalahan itu berpunca daripada kegagalan Pearly-Thinaah mengekalkan prestasi terbaik mereka, selain strategi mantap yang dipamerkan oleh pasangan China berkenaan.

"Apa yang mengecewakan, cara mereka bermain di final jelas bertentangan dengan persembahan cemerlang ketika menewaskan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun di separuh akhir," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir kelmarin, Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan dalam 13 daripada 14 pertemuan lalu apabila menundukkan pasangan pilihan tuan rumah itu 21-13, 21-11 menerusi aksi hampir sempurna.

Bagaimanapun, Rexy menjelaskan situasi yang berbeza sepenuhnya berlaku dalam aksi final menentang pasangan China itu.

Menurut jurulatih dari Indonesia itu, Sheng Shu-Tan Ning bijak menyusun rentak permainan dengan tidak terburu-buru mengutip mata dan kekal dengan perancangan yang teratur sebelum menyerang pada waktu yang tepat bagi memberikan tekanan kepada Pearly-Thinaah.

“Mereka menarik Pearly dan Thinaah menjauhi jaring dan mengawal bahagian depan gelanggang, menyebabkan pasangan negara tidak selesa.

“Kita perlu beri pujian kepada pasangan China itu, terutama Tan Ning yang bermain dengan sangat baik,” katanya.

Kekalahan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah kini merekodkan sembilan kekalahan dalam 12 pertemuan menentang pasangan yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai USD33,250 (kira-kira RM141,000) selaku naib juara, manakala Sheng Shu-Tan Ning meraih USD70,300 (kira-kira RM298,000) sebagai juara.

Gandingan nombor tiga dunia itu turut menyamai pencapaian pasangan terdahulu negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang muncul naib juara pada edisi 2008.

Setakat ini, Pearly-Thinaah mempamerkan prestasi konsisten musim ini apabila menjuarai Terbuka Thailand pada Mei lepas, selain menduduki tempat kedua di Masters Indonesia, Januari lepas.

Fokus seterusnya buat Pearly-Thinaah ialah Kejohanan Terbuka China yang akan berlangsung mulai esok hingga Ahad ini di Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Mereka, selaku pilihan ketiga, akan berdepan rakan senegara Ong Xin Yee-Carmen Ting, di pusingan pertama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan