WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengarah SPRM Perak Dilantik Pengurus Perak FA

27/07/2025 01:26 AM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai pengurus pasukan Perak FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.

Presiden PAFA Datuk Azhar Jamaluddin berkata pelantikan Ahmad Sabri yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan integriti diyakini akan memperkukuh pengurusan pasukan serta meningkatkan tahap profesionalisme skuad berkenaan.

"Dengan kredibiliti dan kepimpinan beliau, pasukan MySPRM-ACeIO berjaya menjulang kejuaraan Piala Emas Raja-Raja 2024, satu pencapaian yang membuktikan keupayaan luar biasa dalam pengurusan bola sepak," katanya dalam kenyataan melalui Facebook Perak FA. 

Azhar berkata PAFA juga yakin pengalaman dan nilai kepimpinan Ahmad Sabri akan menjadi pemangkin penting kepada kekuatan dan profesionalisme skuad Perak FA dalam misi #RoadToSUKMA dan cabaran Liga A1 musim ini. 

Ahmad Sabri memegang pelbagai jawatan penting termasuk Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Ahli Lembaga Penasihat Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC) selain berkhidmat sebagai Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti PAFA.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak SUKMA Perak serta pengurus pasukan MySPRM-ACeIO yang berjaya menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2024

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan