WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hajiji Sahkan Pakatan GRS-PH Hadapi PRN Sabah

27/07/2025 05:21 PM

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah akan membentuk pakatan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu telah dibincangkan dalam kalangan parti komponen GRS dengan kata sepakat dicapai untuk membentuk pakatan pilihan raya bersama PH.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata langkah berkenaan mencerminkan kerjasama berterusan antara GRS dan PH dalam pentadbiran negeri ketika ini.

“Sudah tentu kami bersedia, tetapi (formula kerjasama pilihan raya) masih belum dimuktamadkan. Masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyatakan penghargaan beliau kepada Ketua Menteri kerana mengekalkan semangat kerjasama antara kedua-dua gabungan itu.

“Saya rasa ini adalah berita baik untuk Sabah,” katanya.

Mustapha berkata langkah seterusnya melibatkan rundingan mengenai pembahagian kerusi dan berharap proses itu akan dijalankan secara adil.

Ditanya berapa banyak kerusi yang disasarkan oleh PH Sabah dalam PRN akan datang, Mustapha berkata pihaknya menyasarkan antara 23 hingga 25 kerusi, tertakluk kepada hasil rundingan.

Tempoh lima tahun penggal ke-16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan tamat secara automatik pada 11 November ini, membuka laluan untuk PRN Sabah ke-17.

Terdahulu, Hajiji dalam ucapan dasar Presiden pada perhimpunan berkenaan berkata beliau yakin rakyat akan memilih GRS pada PRN akan datang berdasarkan pencapaian gabungan itu sepanjang lima tahun mentadbir negeri ini.

"Pelan pembangunan yang dirancang bukan sekadar slogan tetapi ia menampakkan hasil nyata dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang positif dan untuk memastikan ia dapat diteruskan, kita perlu mandat besar daripada rakyat.

"Saya yakin rakyat bijak menilai siapa yang terbaik untuk diangkat sebagai kerajaan pada PRN ke-17 nanti. Insya-Allah, segala perancangan pembangunan dapat diteruskan dan direalisasikan demi kesinambungan pentadbiran serta kejayaan berterusan," katanya.

Perhimpunan itu dihadiri lebih 10,000 perwakilan daripada 74 bahagian termasuk Labuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan