Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Island Hospital di Pulau Pinang berada di kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada dua kempen negara yang utama iaitu Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026, tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Kooi Ling berkata inisiatif berkembar itu dijangka memacu lonjakan dalam kedua-dua pelancong riadah dan penjagaan kesihatan dengan Pulau Pinang muncul sebagai destinasi utama kerana reputasinya untuk rawatan bertaraf dunia, digandingkan dengan daya tarikan budaya dan pelbagai jenis makanan.
Lim berkata hospital itu bekerjasama rapat dengan Majlis Pelacongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk meningkatkan sistem sokongan untuk pesakit antarabangsa termasuk kemudahan visa dan pembangunan sumber.
“Pelancongan perubatan adalah industri yang sangat menarik dan bagi kami ia adalah sesuatu yang telah kami usahakan selama lebih 25 tahun.
"Island Hospital sudah menjadi salah satu penggiat pelancongan perubatan terkemuka Malaysia, menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengembara penjagaan kesihatan negara," katanya kepada Bernama.
Lim berkata hospital itu merekodkan lebih 230,000 pesakit tahun lepas dan menjangkakan jumlah itu mencecah 250,000 tahun ini dengan separuh daripada pesakitnya datang dari Indonesia.
Beliau berkata kejayaan hospital itu menarik pesakit dari luar negara terutama dari Indonesia, bermula pada akhir 1990-an apabila sektor penjagaan kesihatan swasta Pulau Pinang bermula.
Lim menyifatkan pertumbuhan ini disebabkan kebiasaan budaya, pilihan untuk rawatan mampu milik dan usaha sasaran hospital untuk membangunkan sektor ini selama ini.
"Doktor dan kakitangan kami boleh berbahasa Indonesia. Kami menawarkan pengangkutan dari lapangan terbang, tempahan hotel, dan juga pakej pelancongan pilihan bergantung kepada pilihan pesakit.
"Selain itu, kami juga menyediakan keputusan pada hari sama kepada pesakit antarabangsa kami apabila mereka melakukan pemeriksaan kesihatan kerana kami memahami kekangan masa dihadapi mereka," katanya.
Island Hospital menyediakan sebanyak 600 katil dengan kadar penghunian adalah pada 60 peratus.
Beliau berkata ia bersedia untuk meningkatkan lagi, bergantung kepada permintaan kerana hospital itu memiliki tanah bersebelahan yang telah diperuntukkan untuk pembangunan masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial