WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Karnival Kita MADANI: Ayam Segar, Minyak Masak Peket Jadi Rebutan Pengunjung

27/07/2025 01:14 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pada Karnival Kita MADANI yang dianjurkan sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 terus mendapat sambutan menggalakkan apabila ratusan pengunjung membanjiri lokasi jualan sejak awal pagi tadi.

Orang ramai dilihat sanggup beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran seawal pukul 9 pagi tadi.

Antara barangan paling laris dan menjadi tumpuan ialah ayam segar, minyak masak peket dan telur, sekali gus membolehkan pengunjung membawa pulang beg penuh dengan barangan dapur untuk kegunaan harian.

“Dengan kos sara hidup yang tinggi, program seperti ini sangat membantu. Misalnya, harga ayam RM6.50 sekilogram memang murah berbanding di pasaran ada yang mencecah hampir RM8 sekilo,” kata suri rumah Norazilah Aman@Ahmad, 42, dari Sungai Abong di sini.

Sementara itu, Abdul Nasir Ali, 68, berkata dia membelanjakan kira-kira RM80 untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas yang dianggarkan berharga RM150 jika dibeli di pasar raya atau kedai runcit.

“Selalu kalau ada PJRM memang saya akan pergi untuk beli barangan dapur, rugi kalau kita tidak manfaatkan. Kerajaan sudah sediakan inisiatif, jadi kita kena ambil peluang,” kata bekas pemandu lori yang tinggal di Rawang, Sungai Mati di sini.

Hadijah Abdul Rahman, 47, pula berkata PJRM menjadi bukti keprihatinan kerajaan terutama golongan kurang berkemampuan.

“Barang yang ditawarkan adalah pelbagai, daripada sayur kepada bahan basah dan kering. Rakyat dapat banyak pilihan dan berjimat cermat dengan harga yang ditawarkan lebih murah,” kata penduduk Pagoh Jaya itu.

Program sisipan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas itu bermula sejak Jumaat lepas dengan menampilkan pelbagai pengisian berunsur komuniti dan kekeluargaan seperti pertandingan mewarna dan Bintang Suara MADANI, persembahan kesenian dan aktiviti kebudayaan tempatan.

Reruai usahawan Komuniti MADANI yang menghimpunkan peniaga mikro dan kecil dari seluruh negara, serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai kemudahan turut menjadi tarikan pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan