LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 bermula meriah apabila berjaya menarik kehadiran 37,130 pengunjung pada hari pertama semalam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata jumlah yang memberangsangkan itu direkodkan menerusi sistem pemantauan Kamera Litar Tertutup Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI-CCTV) yang dikendalikan oleh Perbadanan Labuan bagi mengurus aliran orang ramai serta memastikan keselamatan pengunjung sepanjang lima hari penganjuran festival itu.
“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan ini mencerminkan peningkatan populariti BFF sebagai sebuah tarikan pelancongan dan kebudayaan utama di Labuan,” katanya selepas melawat tapak festival di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata festival ini bukan sahaja menceriakan dan memeriahkan pulau ini, malah menjadi pemangkin ekonomi khususnya kepada peniaga tempatan, pengusaha inap desa serta pengusaha makanan.
“Dengan lebih 37,000 pengunjung sehari, kita sudah dapat melihat kesan limpahan ekonomi. Pengusaha hotel, gerai makanan, penggiat seni tempatan, malah usahawan yang beroperasi dari rumah turut menerima manfaat besar hasil kedatangan pengunjung,” katanya.
BFF 2025 yang bertemakan ‘Flora Tropika Borneo’ turut disertai oleh wakil dari Sabah, Sarawak, Kalimantan dan Brunei.
Festival ini menampilkan pelbagai acara menarik termasuk perarakan flora berhias, pameran reka bentuk taman, persembahan tradisional serta pameran yang mengetengahkan kekayaan khazanah botani dan budaya Borneo.
Edisi sulung festival ini dirasmikan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang sekali gus menambahkan lagi nilai serta prestij BFF.
Lebih 50,000 pengunjung dijangka menghadiri festival lima hari itu yang berlangsung hingga 30 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial