WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Umum RM10 Juta Bantu Golongan Berpendapatan Rendah Di Muar

27/07/2025 01:24 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM10 juta bagi membantu warga Muar, khususnya golongan B40 di daerah ini.

Beliau berkata peruntukan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar bagi memastikan bantuan yang disalurkan bersasar dan memenuhi keperluan sebenar rakyat.

“Saya minta ICU selaraskan, kita tambah keperluan-keperluan kecil rakyat, terutamanya yang susah-susah seperti golongan B40. Kita lulus segera RM10 juta dalam seminggu dua ini untuk rakyat,” kata beliau ketika berucap melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Anwar berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negara, selari dengan semangat kemerdekaan dan keadilan sosial yang menjadi asas perjuangan nasional.

Beliau turut menyeru rakyat supaya menghayati semangat perjuangan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan negara dan penyatuan rakyat Malaysia.

Usai berucap merasmikan majlis, Anwar turut menyempurnakan gimik pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025, melibatkan penyertaan sebanyak 88 unit kenderaan kontinjen darat dan 66 aset pengangkutan air dengan jumlah keseluruhan lebih 300 peserta.

Konvoi ini akan membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara dengan melalui 88 checkpoint, iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dijadualkan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan