WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Rakam 3 Keterangan Kes Pecah Masuk Kediaman Cucu Tun Mahathir

27/07/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman cucu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini pada Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata tiga individu terbabit terdiri daripada pengawal keselamatan dan pembantu rumah melibatkan warga tempatan dan warga asing.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi tangkapan dilakukan, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kediaman milik cucu kepada bekas Perdana Menteri itu dipecah masuk mengakibatkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta yang disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang, Rabu lepas setelah mendapati  pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik majikannya dipercayai dimasuki pencuri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan