Oleh Wilawan Watcharasakwet
BANGKOK, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan Thailand mengesahkan akan menghadiri sesi perundingan damai serantau di Malaysia pada Isnin bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin memuncak dengan Kemboja.
Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, telah menjemput kepimpinan Thailand untuk membincangkan konflik Thailand-Kemboja.
“Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai akan mengetuai delegasi Thailand yang turut disertai Menteri Luar Maris Sangiampongsa, Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Natthaphon Nakpanich dan pegawai kanan lain ke sesi perundingan di Pejabat Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jirayu berkata delegasi Thailand dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira pukul 10.30 pagi, manakala mesyuarat dijadual bermula pada pukul 3 petang (waktu Malaysia).
“Tujuan rundingan ini adalah untuk mendengar cadangan ke arah keputusan yang lebih bijak dan akhirnya mengembalikan keamanan. Kerajaan Thailand kekal teguh dalam komitmen untuk mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah negara,” katanya.
Pada Jumaat, Anwar turut mengadakan perbincangan berasingan dengan pemimpin Thailand dan Kemboja serta menggesa kedua-dua pihak supaya bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres yang menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap pertempuran itu turut menggesa kedua-dua negara supaya menghentikan pertempuran serta menyelesaikan perbezaan melalui dialog.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lepas, mengakibatkan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.
Pertempuran terbaharu itu dilaporkan telah mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand.
Pada masa sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lepas susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak bersependapat mengenai jajaran sepanjang 817 kilometer sempadan yang belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial