WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WUG 2025: Percaturan Taktikal Kuartet 4x100m Lelaki Tak Menjadi Di Final

27/07/2025 10:16 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BOCHUM (Jerman), 27 Julai (Bernama) -- Percaturan taktikal skuad 4x100 meter (m) lelaki negara tidak membuahkan hasil apabila mereka menamatkan aksi final di kedudukan terakhir pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Lohrheidestadion di sini malam in waktu Malaysia.

Dalam perlumbaan terakhir acara olahraga itu, pasukan negara melakukan rombakan strategi dengan menurunkan Mohamad Raimi Mustaffa Kamal untuk bergandingan bersama Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan pelari utama, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Namun, keputusan membawa masuk Raimi untuk aksi final tidak membawa hasil diharapkan apabila kuartet negara hanya mencatat masa 40.19 saat (s), lebih perlahan berbanding 39.83s yang direkodkan dalam pusingan pertama awal pagi tadi waktu Malaysia.

Untuk rekod, Aliff Iman Mohd Fahimi diberi tanggungjawab beraksi dalam pusingan pertama, manakala tempatnya di final digantikan oleh Raimi sebagai sebahagian strategi memperkukuh persembahan.

“Kami tahu ia satu risiko, tetapi ia adalah sebahagian daripada taktikal yang dirancang – bagaimana untuk memaksimumkan keupayaan setiap pelari termasuk memanfaatkan ruang akhir dalam zon pertukaran baton.

“Rezeki tidak menyebelahi kami, tetapi kami sudah beri yang terbaik. Tiada apa yang perlu disesalkan. Hari ini kami berjaya buktikan yang kami antara yang terbaik di dunia, layak ke final dan saya bangga dengan pasukan ini,” kata Azeem selepas perlumbaan.

Emas acara itu menjadi milik Korea Selatan yang mencatat masa 38.50s, manakala Afrika Selatan meraih perak (38.80s) dan India membawa pulang gangsa (38.89s).

Sementara itu, dalam aksi final 4x400m wanita, kuartet negara yang dibarisi Mandy Goh Li, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Hizillawanty Jamain menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Mereka mencatat masa 3 minit 54.88s, sekali gus memperbaiki rekod musim terbaik 3:55.21s yang dilakukan dalam pusingan saringan pertama, semalam.

Pingat emas menjadi milik kuartet tuan rumah Jerman selepas menjadi terpantas melintasi garisan penamat dengan masa 3:29.68s sementara perak diraih Poland (3:30.21s) dan Kanada gangsa (3:34.16s).

Dalam acara akhir lompat kijang wanita, wakil negara Nurul Ashikin Abas menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan lompatan sejauh 12.70 meter.

WUG 2025 yang bermula pada 16 Julai lalu menutup tirai hari ini dengan upacara penutup berlangsung di Landschaftspark Duisburg-Nord, Duisburg.

Malaysia menamatkan kempen dengan kutipan satu pingat perak menerusi jaguh renang, Khiew Hoe Yean dan satu gangsa menerusi perseorangan wanita badminton Wong Ling Ching.

Jepun muncul juara keseluruhan dengan 34 emas, 21 perak dan 24 gangsa, diikuti China (30-27-17) dan  dan Amerika Syarikat di tempat ketiga (28-27- 29).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan