WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerangka MADANI Terus Berpaksikan Nilai Moral Yang Teguh Dan Perpaduan Nasional - Anwar

27/07/2025 11:56 PM

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan Malaysia di bawah kerangka MADANI kekal berteraskan nilai moral yang kukuh dan perpaduan nasional.

Berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama para ulama di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini, Anwar berkata bahawa walaupun Malaysia sebuah negara berbilang kaum, nilai-nilai Islam tetap penting dalam membimbing hala tuju masa hadapan negara.

Beliau berkata walaupun Malaysia ingin mengejar kemajuan teknologi moden dan bergerak pantas ke hadapan, negara harus sentiasa berpegang kepada nilai moral yang teguh dan sifat ihsan.

“Kita perlu maju. Kita perlu pastikan adanya keamanan dan kestabilan politik untuk merangka agenda ekonomi…bergerak ke hadapan dengan lebih pantas, dengan kadar yang dipercepat. Tetapi pada masa yang sama, kita sedar bahawa sebagai umat Islam, soal nilai adalah sangat penting,” kata beliau.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Hadir bersama Yusuf Islam, pemuzik British yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens dan Dr Shaykha Haifaa Younis seorang Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Bertauliah Amerika Syarikat yang juga merupakan sarjana Islam terkemuka.

Mengenai Gaza, Anwar berkata dunia tidak boleh melupakan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin, di tengah-tengah perang yang masih berterusan di Gaza.

Sementara itu, Haifaa turut berkongsi pengalamannya di Gaza, yang menurutnya telah mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih spiritual dan meninggalkan kesan mendalam yang sukar dihapuskan dalam hatinya.

“Umat Islam sedang melalui waktu yang sangat sukar. Gaza sedang berdarah. Ia sangat menyakitkan apabila saya mengangkat tangan berdoa kepada Allah, saya tahu semua orang sedang melakukan yang terbaik, tetapi saya tetap bertanya, apa lagi yang boleh kita lakukan?

“Mereka (rakyat Gaza) mengajar saya erti sabar. Mereka mengajar saya bagaimana untuk mempercayai Allah, walaupun ketika dunia di sekeliling sedang hancur. Saya melihat orang-orang yang tidak tahu bila bom seterusnya akan jatuh, tetapi mereka tetap bersolat,” katanya.

Sementara itu, pakar al-Quran Syeikh Dr Ahmad Aissa Hassan El-Ma’sarawi berkata majlis ilmu MADANI yang diadakan Anwar setiap bulan itu perlu diteruskan, kerana ia menyamai amalan pemimpin di zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin yang menjadikan rumah kediaman mereka untuk rakyat mendengar majlis ilmu.

Beliau yang menyampaikan tausiyah dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Mohd Na'im, turut menasihatkan umat Islam untuk terus bepegang dengan al-Quran dan mematuhi suruhan dan larangan seperti dalam kitab suci itu.

“Apabila kita kembali kepada al-Quran, Allah akan pelihara kita dan kita akan jadi umat berjaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan