WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekalan Makanan Haiwan Peliharaan Di Malaysia Masih Stabil Meskipun Ketegangan Thai-Kemboja

28/07/2025 04:22 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Ketegangan antara Thailand dan Kemboja yang masih berterusan tidak dijangka menjejaskan bekalan makanan haiwan peliharaan berasaskan tuna di Malaysia buat masa ini.

Bagaimanapun, beberapa beberapa pemain industri melahirkan kebimbangan akan peningkatan kos dan potensi cabaran logistik sekiranya krisis itu semakin memburuk.

Stanley Saw, pengarah urusan ABCO Asia Sdn Bhd, pengimport makanan haiwan peliharaan dan pengedar produk tuna dari Thailand dan Jepun, berkata persengketaan antara kedua-dua negara jiran itu tidak dijangka menjejaskan rantaian bekalan tuna, kerana aktiviti perikanan dan pertanian utama berpusat di Laut China Selatan.

"Ini adalah kes terpencil, dan krisis ini tidak akan membantu mana-mana pihak. Thailand mempunyai kawalan lebih kuat di kawasan miliknya, dan kami tidak menjangkakan sebarang gangguan serta-merta," katanya kepada Bernama.

Peningkatan pertikaian sempadan terkini antara Thailand dan Kemboja telah mencetuskan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan tuna dalam tin global, memandangkan kedudukan dominan Thailand dalam pasaran ini.

Saw berkata konflik global biasanya akan menimbulkan persekitaran yang tidak menentu.

“Inflasi dan kenaikan harga tidak dapat dielakkan, dan perniagaan perlu menyesuaikan diri.

"Kita perlu bekerjasama dengan rakan kongsi yang boleh dipercayai dan bukan hanya berharap agar keadaan menjadi lebih baik," katanya sambil menambah mengekalkan kepercayaan pengguna melalui kualiti dan penjenamaan adalah langkah yang penting dalam tempoh yang bergelora.

Chun Wei Keong, pengurus jualan nasional Inaba Foods (Malaysia) Sdn Bhd Chun yang mengedarkan jenama makanan haiwan peliharaan Jepun, Ciao, berkata kilang syarikat itu di Saraburi, Thailand tidak terjejas oleh konflik tersebut kerana ia terletak lebih 100 kilometer dari Bangkok, dan kira-kira 500 kilometer dari sempadan yang bergolak berhampiran kawasan Kuil Preah Vihear.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun penghantaran produk dari Thailand masih stabil, dengan kebanyakannya diangkut melalui jalan laut dan sebahagian melalui laluan jalan terus, bekalan boleh terjejas sekiranya gangguan geopolitik memberi kesan kepada kekerapan penghantaran.

"Buat masa ini, kami belum ada masalah dengan apa yang sedang berlaku, dan tiada kenaikan harga," katanya.

Sementara itu, pengarah AP&C Sdn Bhd, Amelisa Heng, yang syarikatnya mengimport dan mengedarkan makanan haiwan peliharaan sihat dari China kepada lebih 500 peniaga di seluruh negara, berpandangan yang sama bahawa bekalan ketika ini tidak terjejas berikutan kestabilan di China.

"Satu-satunya kebimbangan sekiranya konflik semakin memuncak adalah logistik dan menjejaskan pengangkutan laut. Pada masa ini, kami membuat penghantaran setiap bulan, dan kadang-kadang terdapat kelewatan kerana kesesakan di pelabuhan, tetapi tidak ada masalah yang besar," katanya.

Heng berkata sebagai pemain yang agak baharu dalam pasaran sejak 2020, syarikatnya dapat mengekalkan harga yang stabil merentas platform seperti TikTok, Lazada, dan Shopee, walaupun beberapa kenaikan harga boleh berlaku di peringkat runcit.

Bridget Foo pengurus (antarabangsa) pembangunan perniagaan Century Pet Food Industry Sdn Bhd (antarabangsa), pengeluar makanan haiwan peliharaan tempatan dari Pulau Pinang berkata strategi penyumberan tempatan syarikat  itu telah melindunginya daripada risiko geopolitik luaran.

"Bahan mentah utama kami, ikan, diperoleh dari pasaran tempatan, dan bahan-bahan lain diimport dari negara Eropah seperti Jerman dan Perancis. Setakat ini, tiada gangguan berlaku," katanya.

Foo berkata syarikat itu yang telah beroperasi selama kira-kira 13 tahun, mendapat manfaat daripada pengawalan penuh ke atas pengeluaran dan harga produknya kerana ia mengeluarkan dan mengedarkan jenamanya sendiri. 

Thailand, yang telah lama dianggap sebagai hab serantau bagi pengeluaran makanan, terutamanya produk makanan laut seperti tuna, memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan ASEAN untuk makanan manusia dan haiwan peliharaan.

Pada 2023, eksport global tuna dalam tin berjumlah 1.6 juta tan, dengan Thailand menyumbang 28 peratus daripadanya.

Walaupun pemain industri masih optimis buat masa ini, ramai yang memberi penekanan kepada kepentingan perancangan luar jangka, pempelbagaian sumber dan mengekalkan penjenamaan yang kukuh untuk berdepan sebarang kejutan pada masa depan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan