KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) -- Operasi load shedding atau penyisihan beban yang dilaksanakan di Sabah dan Labuan bermula 1 hingga 7 Ogos ekoran kerja penyelenggaraan berjadual di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, Papar dijangka memberi kesan kepada lebih 600,000 isi rumah di Sabah dan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata kerja penyelenggaraan oleh PETRONAS itu akan menjejaskan lebih 200,000 akaun pengguna domestik di Sabah dan Labuan.
Yaakob berkata proses itu juga akan menyebabkan kesulitan kepada pengguna di Sabah dan Labuan, terutamanya pada waktu puncak antara 10 pagi hingga 10 malam, setiap kawasan akan mengalami gangguan bekalan selama satu atau dua jam secara bergilir.
"Kerja penyelenggaraan di pelantar luar pesisir dan pelantar di daratan akan menyebabkan bekalan gas kepada dua Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) di Kimanis terputus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dua IPP yang terjejas ialah loji jana kuasa Kimanis dan SPRE, yang mengakibatkan kehilangan sebanyak 195 megawatt kuasa dalam sistem grid Sabah sepanjang tempoh tujuh hari itu.
Beliau berkata pada peringkat permulaan tiada sebarang gangguan bekalan elektrik dijangka semasa perbincangan awal dengan PETRONAS dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada awal tahun ini.
“Namun, berdasarkan maklumat yang diterima pada Selasa (29 Julai), didapati loji-loji jana kuasa berkenaan tidak dapat beroperasi menggunakan bahan bakar alternatif,” katanya.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual bebanan beralih, termasuk masa, tarikh dan kawasan yang terjejas melalui laman Facebook syarikat itu dan aplikasi Sabah Electricity.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial