KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Kuda Padi Sabah dibawa khas dari Tuaran dan Kota Belud, antara tarikan utama pengunjung ke Laman Ternakan – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bersempena dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung tiga hari bermula dari hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Spesies kuda kecil bersifat jinak, tahan lasak dan mudah dilatih itu sinonim dengan warisan kebudayaan Bajau Samah, antara kumpulan etnik terbesar di Sabah, ditampilkan lengkap dengan hiasan kain tenun dan manik pelbagai warna serta aksesori tradisional suku kaum berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Seksyen Perancangan Penyelidikan dan Inovasi DVS Sabah Dr Lorren Adam berkata pihaknya membuat kelainan pada HPPNK tahun ini dengan membawa Kuda Padi Sabah ke ruang pameran sebagai elemen "wow" bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Sebelum ini, kita tidak pernah tampilkan kuda dan kini dua ekor Kuda Padi Sabah dibawa khas dari Kota Belud dan Tuaran. Boleh dikatakan Kuda Padi Sabah semakin pupus, tetapi ada individu mengambil inisiatif untuk memulihara spesies ini.
“Selain Kuda Padi Sabah, DVS turut mengetengahkan keunikan dan potensi sektor pertanian di negeri ini melibatkan ternakan ruminan, kesihatan haiwan dan haiwan kesayangan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lorren berkata pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis ternakan lain seperti kerbau putih, kambing baka Boer dan Kalahari, itik dan empat spesies arnab.
Beliau berkata kerbau putih antara ternakan jarang dilihat orang ramai, justeru DVS mengambil inisiatif menampilkan ternakan itu bagi memberikan pendedahan kepada pengunjung menerusi penerangan di ruang pameran berkenaan.
Selain itu, antara aktiviti lain termasuk makanan berkonsep farm to table seperti itik panggang dan puyuh goreng serta cabutan bertuah dengan hadiah utama sepasang kambing Boer.
Setakat hari pertama HPPNK 2025, Lorren berkata sambutan pengunjung amat menggalakkan dan pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung hadir ke ruangan pameran DVS pada hujung minggu.
Mengulas lanjut, Lorren berkata pertandingan kucing baka pedigree di reruai Purrfection Cat Expo DVS dijangka menarik kehadiran peminat haiwan itu selama dua hari bermula esok, melibatkan dua kategori, iaitu kucing dewasa dan anak kucing merangkumi kucing bulu pendek dan kucing bulu panjang.
Lorren berkata lebih 60 peserta telah mendaftar untuk menyertai pertandingan setakat ini, dan jumlah itu dijangka meningkat hingga 200 peserta dalam tempoh dua hari penganjuran.
Selain itu, pencinta kucing berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan kucing kesayangan mereka secara percuma di reruai berkenaan.
Beliau berkata DVS turut membawa pameran statik Kebajikan Haiwan dan MyFeed, aplikasi mudah alih percuma dibangunkan jabatan itu untuk membantu penternak merancang pemberian makanan harian yang seimbang bagi ternakan ruminan.
Orang ramai boleh mengunjungi Laman Ternakan dan reruai DVS yang ditempatkan di bawah segmen "Cukup dan Terjamin" bermula dari hari ini hingga Ahad, dari 8 pagi hingga 10 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial