WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kepimpinan Anwar Terserlah Dalam Selesaikan Konflik Serantau, Pertahan Ekonomi

01/08/2025 10:42 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Dalam tempoh lima hari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai banyak kejayaan melebihi apa yang menjadi aspirasi ramai pemimpin dalam bidang politik antarabangsa dan perdagangan global.

Hari ini merupakan detik penting bagi ekonomi domestik apabila Amerika Syarikat (AS) menurunkan tarif ke atas eksport Malaysia ke negara itu daripada 25 peratus kepada 19 peratus selepas rundingan yang sudah pasti sukar.

Sehari sebelum itu, beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Donald Trump yang mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.

Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja bagi Anwar malah kepada Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan bersama pemimpin rakan dialog.

Kehadiran Trump di Kuala Lumpur akan menambah kepentingan kepada siri mesyuarat antara pemimpin dunia, termasuk kuasa besar lain seperti China.

Bagaimanapun, sudah tentu, apa yang menarik perhatian pada peringkat global ialah apabila beliau menjadi perantara gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand pada Isnin lepas susulan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara anggota ASEAN tersebut.

Selepas 35 orang terbunuh, wujud kebimbangan bahawa konflik tersebut boleh bertukar menjadi peperangan sepenuhnya sekiranya tiada pihak yang campur tangan.

Pendirian tegas Anwar telah berjaya memujuk kedua-dua negara jiran itu untuk kembali ke jalan perdamaian kerana tiada yang menang dalam peperangan tetapi hanya mereka yang terkorban.

Keadaan ini pastinya akan menjadi satu perkembangan yang tidak diingini bagi ASEAN, yang mula ditubuhkan pada 1967 untuk menggalakkan keamanan dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu.

Pujian harus diberikan kepada Anwar yang dalam tempoh lima hari sahaja berjaya melaksanakan sesuatu di luar jangkaan demi keamanan dan keselamatan serantau serta memastikan ekonomi Malaysia terus stabil selepas Washington sebelum ini mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus.

Penjelasan beliau bahawa fokus utamanya dalam konflik Thailand-Kemboja baru-baru ini adalah untuk mencari penyelesaian secara aman bagi memastikan kestabilan dan keselamatan ASEAN yang berterusan.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa terdapat tekanan luar daripada kuasa besar dunia, menegaskan bahawa kejayaan besar dicapai melalui diplomasi serantau secara langsung.

Ini bermakna tanggungjawab yang besar terletak di bahu Perdana Menteri dalam membawa pihak-pihak yang terlibat dalam konflik itu ke meja rundingan dan mencapai gencatan senjata.

Pemimpin Malaysia sebelum ini boleh mengakui melakukan banyak perkara tetapi pastinya bukan meleraikan krisis antara dua negara yang menyaksikan pertarungan maut.

Sehubungan itu, pujian wajar diberikan kepada barisan pasukan Kementerian Luar diterajui oleh Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kejayaan diplomasi serta politik serantau dalam menjadi perantara perdamaian antara Kemboja dan Thailand adalah sesuatu yang pastinya menarik perhatian negara serantau lain untuk menyelaminya.

Tidak kurang pentingnya adalah usaha tanpa mengenal penat lelah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan pasukan perunding kementerian itu dalam usaha mendapatkan kadar tarif lebih rendah yang dikenakan oleh AS.

Sudah pasti, tarif pada kadar 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini bukan setakat melegakan, tetapi memberi penjimatan besar bagi pengeksport Malaysia.

Satu lagi fakta yang memihak Malaysia adalah semikonduktor -- penyumbang hasil eksport utama bagi Malaysia, serta farmaseutikal dikecualikan daripada sebarang tarif AS setakat ini.

Bersandarkan pencapaian positif sedemikian, bantahan di pusat bandar Kuala Lumpur minggu lepas yang dianjurkan oleh kebanyakannya ahli politik pembangkang agar Anwar meletak jawatan, kelihatan tersasar.

Namun, pada masa sama, masih ada isu domestik yang perlu ditangani seperti kos sara hidup yang tinggi.

Dalam tempoh beberapa hari yang sarat dengan pelbagai perkembangan, Anwar bertindak membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menumpukan rakyat dengan tumpuan penciptaan nilai dan memelihara kebajikan rakyat untuk lima tahun akan datang dan seterusnya tanpa rancangan besar yang berlebihan, sebaliknya berteraskan langkah-langkah praktikal serta dapat dilaksanakan dengan pengawasan kewangan yang mantap.

Justeru, tidak dinafikan berdasarkan prestasi beliau setakat ini, khususnya mengambil kira beberapa hari lepas yang meriah dengan pelbagai perkembangan, Anwar masih boleh diharapkan dari segi penyampaian yang terbaik untuk Malaysia ketika diasak cabaran di luar jangkaan.

Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi ASEAN, beliau telah mengemudi Malaysia di landasan kemajuan lebih tepat meskipun dilontarkan dengan kejutan pengumuman tarif pada April dan disusuli dengan krisis membabitkan dua negara jiran dalam ASEAN.

Oleh itu, apa yang kita dapat lakukan sebagai rakyat, adalah memberi Anwar ruang serta sokongan yang diperlukan beliau untuk melakukan yang terbaik demi manfaat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan