WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Konflik Thailand-Kemboja: PN Ucap Tahniah Kepada PM Anwar

04/08/2025 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) hari ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan penting beliau dalam membantu meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja.

Timbalan Pengerusi PN yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN menyambut baik apa sahaja keterlibatan Malaysia dalam usaha memperkukuh kestabilan rantau ini.

“Apa pun peranan dimainkan Yang Berhormat Tambun (Anwar) walau ada yang menyifatkan sebagai tuan rumah, ia tetap satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan syabas.

“Apa yang penting Malaysia akan terus kekal dihormati sebagai sebuah negara berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 28 Julai lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuat kuasa serta-merta, susulan mesyuarat khas diadakan di Putrajaya yang dipengerusikan Anwar.

Pada mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, turut mencapai persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata itu.

Sehubungan dengan itu, Hamzah menyeru supaya Malaysia konsisten memperjuangkan keamanan sejagat serta berani menyuarakan pendidiran tegas dalam menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, memandangkan pelbagai konflik kini melihatkan persekitaran geopolitik dunia begitu rapuh.

“Krisis kemanusiaan dan genosid berterusan di Gaza, perang di Eropah Timur, sengketa berpanjangan di Asia Barat begitu juga antara Thailand dan Kemboja, tentunya memberi kesan kepada Malaysia baik secara langsung mahupun tidak langsung.

“Bagi memelihara kepentingan diplomasi dan strategik negara dari segenap sudut, maka Perdana Menteri, Menteri Luar serta seluruh anggota Jemaah Menteri memikul amanah besar untuk memastikan setiap kenyataan dan tindakan mereka sentiasa bersifat tersusun dan terukur,” katanya.

Mengenai kadar tarif 19 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia, Hamzah berkata PN berpendirian jelas bahawa negara ini mesti berdagang dengan bermaruah terutamanya dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.

AS mengenakan tarif pada kadar yang dikurangkan kepada 19 peratus daripada 25 peratus ke atas import dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan