WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Gunung Krasheninnikov Di Rusia Meletus Buat Kali Pertama Dalam Tempoh 600 Tahun

04/08/2025 05:22 PM

ISTANBUL, 4 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Sebuah gunung berapi di Semenanjung Kamchatka Rusia meletus pada Ahad buat kali pertama dalam tempoh enam abad, menurut pihak berkuasa, memuntahkan awan yang mengandungi abu ke arah timur menuju Lautan Pasifik, lapor Anadolu Ajansi.

Pejabat serantau Kementerian Kecemasan Rusia berkata Gunung Krasheninnikov, yang terletak di Timur Jauh negara itu menyaksikan awan abu menjulang setinggi 6,000 meter, memetik data daripada Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka (KVERT).

“Tiada kawasan berpenduduk di sepanjang laluan awan abu itu,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan di Telegram, sambil menambah tiada laporan mengenai hujan abu di penempatan berdekatan dan tiada kumpulan pelancong berada di lokasi itu.

Gunung berapi setinggi 1,856 meter itu kini diberikan kod bahaya penerbangan “jingga”, menandakan peningkatan risiko kepada pesawat akibat abu gunung berapi di atmosfera. Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak pergi ke kawasan itu atau cuba mendaki gunung berapi berkenaan.

Ketua KVERT Olga Girina, ketua KVERT, dalam kenyataan kepada agensi berita Rusia, RIA berkata letusan itu mungkin berkaitan dengan gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 yang melanda luar pantai Kamchatka pada Rabu lepas, mencetuskan amaran tsunami di seluruh Pasifik.

Akademi Sains Rusia berkata ia adalah gempa bumi terkuat di rantau itu sejak 1952.

Pada hari yang sama, akademi itu melaporkan letusan di Gunung Klyuchevskoy, antara yang paling aktif di Eurasia, terletak kira-kira 160 kilometer (99.4 batu) di utara Krasheninnikov.

-- BERNAMA-TASS

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan