WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Sedia Jalin Kerjasama Strategik Bersama AKPS

07/08/2025 05:41 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) khususnya dalam aspek operasi serta latihan membabitkan pegawai agensi berkenaan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam berkata AKPS adalah sebuah agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara, justeru SPRM bersedia memberikan bantuan sepenuhnya dalam memastikan matlamat bersama dicapai.

“Beberapa isu melibatkan AKPS sememangnya telah berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar. Dengan kerjasama yang bakal dijalin ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam turut mencadangkan satu bentuk pemberian insentif kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan sebagai dorongan dan motivasi untuk menjalankan tugas dengan lebih bersemangat serta berintegriti tinggi.

“SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat, dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata pertemuan itu menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan langkah operasi, pencegahan rasuah serta usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan negara.

“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh lagi sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS Datuk Sazali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS Ismail Mokhtar.

Untuk rekod, Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS Kementerian Dalam Negeri bagi tempoh dua tahun mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan