WILAYAH - TENGAH > BERITA

RUU Pekerja Gig 2025 Dibentang 14 Ogos - TPM Ahmad Zahid

07/08/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 iaitu kerangka perundangan khusus yang dapat mengiktiraf dan melindungi pekerja gig secara sah, dijangka dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama 14 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bacaan kali kedua pula akan dibentangkan pada 26 Ogos.

“Masa itulah akan dibacakan secara terperinci, diperbahaskan Ahli Parlimen oleh kerajaan dan pembangkang, lepas itu diundi.

Undi ini tidak perlu dua pertiga majoriti tapi (cukup) majoriti mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri gig anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang dihadiri wakil pekerja industri gig dan pihak berkepentingan, di sini hari ini.

Ahmad Zahid pada sidang media selepas sesi itu berkata kerajaan berusaha melaksanakan kempen kesedaran untuk memastikan lebih ramai pekerja gig menyumbang kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), berikutan kadar sumbangan yang rendah.

Beliau berkata setakat ini, hanya 188,000 pekerja p-panggilan dan 132,000 pekerja e-panggilan yang sedang membuat sumbangan, daripada jumlah keseluruhan 1.12 juta pekerja dalam ekonomi gig.

Sementara itu, Sim ketika berucap dalam sesi itu berkata sekiranya akta itu dilaksanakan, Malaysia menjadi negara ke-16 di dunia yang melaksanakan perundangan melindungi pekerja sektor gig.

Beliau berkata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut menyatakan minat untuk mengetahui pengalaman Malaysia dalam penyediaan RUU Pekerja Gig, memandangkan RUU versi Malaysia dilihat lebih komprehensif dan tidak ekstrem.

“Kita buat perbandingan dengan 15 negara, dengan empat negara ini kita beri perhatian lebih iaitu Singapura dan Filipina sebagai negara jiran, Amerika kerana status ekonomi maju dan India kerana undang-undangnya hampir sama dengan kita.

“Apabila saya pergi ke ILO di Geneva, Switzerland pada Jun, memang banyak negara menanti-nanti versi Malaysia,” katanya.

Selain itu, Sim berkata sebanyak 40 sesi libat urus telah diadakan dalam merangka RUU itu, melibatkan kira-kira 4,000 pihak termasuk pekerja, syarikat, persatuan, wakil-wakil majikan, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan sebagainya.

“Ada input sama ada daripada wakil pekerja ataupun wakil majikan dan dalam setahun ini kita cuba selaraskan.

“Setiap pihak ada kepentingan masing-masing…kita cuba selaraskan supaya benda ini tidak merumitkan, terutamanya melindungi pekerja gig, tapi pada masa yang sama memastikan daya saing sektor ekonomi gig tetap ada di negara kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan